JenayahNasional

Kerajaan komited mantapkan nilai integriti, urus tadbir negara – PM

KERAJAAN sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, mekanisme Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat (ADUN) dan Ahli Dewan Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran Kerajaan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan.

“Satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislative,” kata Perdana Menteri sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, mesyuarat turut bersetuju agar Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

Tambah beliau, perincian kod etika baharu ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

“Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui GIACC bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 hingga 2025.

“Ia bertujuan bagi pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, peranan IIM akan diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan, Penyelidikan dan Penerbitan serta Kerjasama Strategik.

Ismail Sabri berkata, IIM juga akan diberi peranan melaksanakan Model Perniagaan secara hibrid untuk membantu mengukuhkan integriti sektor awam dan swasta.

“Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status terkini berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

“RUU ini akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang,” jelas Ismail Sabri.

JKKMAR, jelas Ismail Sabri, telah membuat ketetapan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memperkukuhkan elemen integriti, memberi peluang mobiliti serta meningkatkan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti.

Ini semua, kata Perdana Menteri, adalah bagi mengelakkan risiko gejala rasuah dan salah guna kuasa, kewujudan Little Napoleon di peringkat lapangan dan pusingan kerja yang terhad.

“Justeru mesyuarat bersetuju agar Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT diwujudkan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan melaksanakan pertukaran pegawai PBT ke PBT yang lain.

“Melalui jawatankuasa ini, pegawai PBT yang telah berkhidmat di tempat yang sama dalam tempoh yang lama boleh ditukarkan ke PBT yang lain,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Satu Garis Panduan sebagai rujukan akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan di semua PBT di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menjelaskan bahwa Mesyuarat bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara (KAN).

“Pindaan ini adalah melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatan KAN dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan Negeri.

“Penglibatan KAN dibolehkan dalam jawatankuasa di peringkat dasar,” katanya.

Beliau berkata, bidang tugas KAN diperluaskan bagi mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan Kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya. – SM

 

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button