Nasional

Julung kali upacara angkat sumpah AMMK Perlis secara siaran video

Buat julung-julung kalinya, upacara angkat sumpah tahunan jawatan barisan para Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Perlis dijalankan secara siaran video dari Kompleks Dewan Undangan Negeri Kangar.

Video secara langsung melalui aplikasi Zoom tersebut disiarkan ke Balai Menghadap Hijau, Istana Arau, pada jam 11 pagi dengan disaksikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Hamdan Bahari.

Majlis angkat sumpah tersebut melibatkan barisan exco terdiri daripada Asmaiza Ahmad (Chuping), Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Azizan Sulaiman (Santan), Hamizan Hassan (Kayang), Ruzaini Rais (Beseri), Rozieana Ahmad (Pauh), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Aan (Titi Tinggi).

Bersempena majlis tersebut Tuanku Raja menzahirkan ucapan tahniah kepada semua di atas pelantikan semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan betapa perlunya kesemua exco supaya menerangkan kepada masyarakat tentang pentingnya untuk setiap rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Jika didapati masih ada rakyat yang belum menerimanya maka ada ruang untuk virus ini terus menyerang mangsa-mangsa yang baru”, titah baginda.

“Ramai yang kini percaya kepada berita-berita negatif, yang mengatakan bahawa kalau menerima suntikan ini maka hayat kita akan terhenti dalam tempoh masa 2 tahun. Tiada siapa yang dapat membuktikan perkara ini dan tiada langsung ‘nas’ yang menyebutkan akan perkara-perkara itu. Hidup mati bukan kuasa kita. Itu adalah urusan Tuhan yang Maha Esa”, tegas baginda.

Tambah Tuanku Raja lagi, jika kita menerima suntikan, serangan yang diterima itu tidak akan seberat mereka yang tidak menerima suntikan dan ini yang kita harapkan.

“Untuk berperang dengan virus Covid-19 ini memerlukan peranan daripada setiap rakyat. Tidak boleh ada sebarang ‘gap’ atau ruang langsung untuk memberi peluang kepada virus ini menular”.

Raja Perlis mahu setiap rakyat diberikan penerangan yang sepatutnya serta menerima suntikan.

“Jangan hanya mengambil satu dos sahaja dan dos kedua tidak diambil dan ini tidak melengkapkan keseluruhan dos. Apa yang paling penting bagi Saya, rakyat selamat dan kembali kepada keadaan seperti dahulu walaupun waktu ini kita menghadapi pandemik yang begitu merbahaya”, titah baginda.

Tambah baginda lagi, ‘Dahulu boleh dikatakan Perlis kekal angka kosong dan hanya satu atau dua kes jangkitan sahaja, tetapi ketika hampir dan juga selepas Hari Raya yang lalu angkanya terus melonjak naik.

“Saya nasihatkan rakyat jika terpaksa keluar dari Perlis atas sebab-sebab tertentu, setelah pulang perlu kuarantinkan diri, jangan sembunyikan perkara tersebut dan kembali bekerja kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri tetapi juga kepada orang lain”.

“Tanggungjawab rakyat yang keluar daripada kawasan atau berjumpa orang-orang yang positif, perlu membuat pemeriksaan diri dan ambil tindakan sendiri dengan kuarantin diri. Oleh itu, semua orang selamat tetapi jika disembunyikan maka ia amatlah merbahaya. Saya berharap apa yang Saya titahkan ini disampaikan kepada nasyarakat umum di luar sana” jelas baginda.

(Visited 400 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button