Rencana

Bezanya Annuar Musa dengan pemimpin lain

SAYA pernah menemubual Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu Setiausaha Agung Umno dan saya wartawan Utusan Malaysia di bahagian online.

Kisah temubual itu berlaku ketika Utusan 1.0 iaitu masih di bawah Kumpulan Utusan, manakala Utusan 2.0 kini di bawah Media Mulia.

Wawancara itu diatur oleh Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar iaitu sahabat saya ketika beliau menjadi atase pendidikan dan saya wakil Utusan di Jakarta.

Selepas itu saya pun lama tidak bertemu dengan Tan Sri Annuar dan suatu hari saya menulis 10 sebab mengapa pemimpin Umno itu harus dipecat dari Umno.

Dr. Junaidy mempelawa saya bertemu Tan Sri bagi mendengar penjelasan dan dalam pertemuan itu saya dapati beliau rupanya sudah terputus hubungan dengan pemimpin atasan Umno, kerana sebagai wartawan saya mengetahui lebih banyak maklumat dalaman berbanding Annuar.

Dalam perjumpaan itu juga turut disertai beberapa orang yang lain yang saya kira merupakan penasihat politik Tan Sri, Datuk Tun Faisal Ismail dan ia berlangsung hampir tiga jam.

Saya hanya mendiamkan diri dan saya lebih kepada mengamati peribadi Tan Sri dan para penasihatnya.

Tan Sri seorang yang sangat jelas penjelasannya. Dua ahli politik yang berani berdepan dengan saya dan menjawab apa saja soalan ketika bersiaran langsung setakat ini ialah Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Annuar.

Sehinggakan saya mencadangkan Tan Sri supaya sering mengadakan sesi pertemuan dengan para editor agar mendengar penjelasan Tan Sri, supaya bos-bos media ini lebih memahami dasar kerajaan.

Ketika menjadi Menteri Komunikasi, itulah yang dilaksanakan oleh Tan Sri. Jadi dalam situasi kecamuk informasi para editor sudah cukup faham akan situasi sebenar dan mereka boleh bertanya apa sahaja ketika sesi soal jawab.

Apabila sering menjadi jurucakap kerajaan Tan Sri mula dituduh melebihkan kerajaan Perikatan Nasional berbanding parti beliau Umno.

Kenyataan Tan Sri berkaitan banyak isu mula sengaja diputarbelitkan oleh rakan sama parti dengan beliau.

Kemuncaknya adalah apabila beliau tidak dicalonkan pada pilihan raya lalu dan selepas pilihan raya beliau terus dipecat.

Secara mudah Tan Sri tahu siapa yang menjadi penghasut sehingga beliau dipecat. Bagaimanapun Tan Sri membiarkan ia berlalu seperti itu sahaja.

Selepas dipecat beliau mengasingkan diri dari politik selama lebih tiga bulan dan daripada posting di media sosial saya lihat Tan Sri menghabiskan masa kira-kira sebulan di Mekah, iaitu sepanjang bulan puasa.

Saya memikirkan Tan Sri sudah mahu melupakan politik, tiada apa yang mahu dicapai lagi.

Tiba-tiba Tan Sri memaklumkan beliau mahu aktif semula di dalam politik dan sudah membuat keputusan untuk menyertai Pas.

Ternyata Tan Sri seorang ahli politik yang sejati dan ia sudah menjadi darah serta daging beliau.

Berbeza Tan Sri kali ini beliau tidak berdendam dengan siapa-siapa. Mungkin selepas lebih 50 tahun di dalam politik, dan dipecat dari Umno, telah membuka jalan politik yang lebih jelas dan luas iaitu demi perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini dan pada masa yang sama menjaga kehormatan Islam serta membela nasib bangsa Melayu.

Tan Sri saya lihat tidak mengambil langkah berkonfrantasi dengan sesiapa, termasuk perdana menteri dan kerajaan hari ini. Jauh sekali bermusuh dengan Umno yang menaikkan beliau selama ini.

Cuma beliau hanya menjelaskan sahaja situasi semasa dan kronologi kejadian-kejadian yang membentuk politik hari ini dari perspektif beliau sebagai seorang yang terlibat secara langsung.

Penjelasan beliau inilah yang menyebabkan sesetengah pihak terpecah tembelangnya serta tidak selesa dan kini Tan Sri semakin lantang membuka satu persatu.

Saya lihat penjelasan Tan Sri konsisten kesemuanya dan alirannya lancar menandakan beliau bercakap benar.

Sebagai wartawan saya dihantar kursus psikologi bagi mengesan orang menipu. Kebanyakan orang politik memang kuat menipu dan lebih parah sampai ke tahap ibarat mabuk ketum ketika bercakap.

Saya kadangkala tidak sanggup berbual dengan ahli politik sedemikan kerana tahu apa yang keluar dari mulut semuanya tipu.

Tapi Tan Sri tidak sedemikian, setakat hari ini. Kalau Tan Sri Annuar saya kesan sudah mula menjadi seperti ahli politik lain, saya akan menjauhkan diri, kerana tidak sanggup terlibat dalam melakukan penipuan terhadap diri sendiri dan masyarakat.

Sebab itu saya sering bertanya Tan Sri berkaitan politik lampau beliau. Satu sebab kerana saya tidak kenal Tan Sri awal penglibatan dalam politik dan kedua saya tidak gemar bergaul dengan ahli politik yang bodoh, sombong dan penipu.

Saya rasa kebanyakan manusia yang normal juga bersikap seperti saya, khususnya wartawan yang berjumpa pelbagai orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Saya juga sudah hampir 30 tahun menjadi wartawan. Dari zaman Wordstar sampailah ke zaman Google.

Dari zaman mesin taip hinggalah ke zaman telefon pintar yang kini menjadi alat utama menuntaskan tugas wartawan. Kami orang kemaruk mencari kebenaran. Pada masa yang sama kami sentiasa berhati-hati supaya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Kalau ada masa dan kerajinan, saya akan berkongsi lagi kisah ahli politik lain dari perspektif saya. Annuar Musa dipilih kali ini kerana beliau sedang hangat di pasaran apabila menyertai Pas secara rasmi empat hari lalu.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi saya dan bukan pandangan Suara Merdeka.

 

 

 

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button