Mahkamah

Permohonan Najib dapat dokumen gagal

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan syarikat milik ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Hakim Collin Lawrence memutuskan demikian pada hari ini yang ditetapkan untuk mendengar keputusan bagi permohonan Ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata permohonan berkenaan adalah pramatang.

Mahkamah sama juga menolak permohonan Najib bagi mendapatkan rekod telefon bimbit pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Pada 24 Mac lalu, Najib, 67, memfailkan permohonan untuk mendapatkan 19 dokumen bank bagi beberapa buah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang merupakan suami kepada Zeti.

Najib sekali lagi pada 5 April juga memohon dibekalkan dengan beberapa lagi dokumen termasuk perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib bagi menyokong permohonannya, beliau berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Beliau turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs melibatkan komunikasi Leissner.

Beliau memohon kesemua dokumen-dokumen tersebut atas dakwaan ia mengandungi keterangan yang berpihak kepadanya dalam membuktikan pembelaannya dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Najib kini berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -UTUSAN ONLINE

(Visited 459 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button