Alam SekitarRencah Hidup

Air: Pili kering, sungai jadi pilihan kalau tidak ke kolam renang

HARI ini lebih 30 peratus kawasan di negeri Selangor yang mengalami masalah gangguan bekalan air dikhabarkan kembali pulih.


Sejak hari ‘pertama’ pili di dapur dan di bilik mandi di rumah kering tanpa setitik air, perasaan geram membuak-buak dalam hati pengguna khususnya penduduk yang terjejas dengan masalah air.

Biar apa sekali pun punca berlakunya gangguan bekalan air, pengguna dalam negeri Selangor sering kali dibebani dengan bekalan air terputus.

Bagi mereka yang tidak mempunyai tangki besar untuk menyimpan air, bagi mereka yang bujang, bolehlah pergi mencari sungai-sungai untuk mandi manda.

Itupun kalau air sungai itu bersih dan jernih kerana rata-rata, sungai kita tercemar disebabkan oleh sikap orang ramai yang tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi untuk menjaga kebersihan seperti tidak membuang sampah di sepanjang sungai atau campak sampah sarap ke dalam sungai.

Apabila timbul masalah ketiadaan air, tahu pula kita mencari alternatif.

Tidak menjadi satu kejutan apabila ada yang sanggup menyewa hotel, keluar dari kawasan Lembah Klang semata-mata tiada setitik air di rumah.

Memanglah, apabila tiada air, macam mana nak masak, makan dan minum? Semunya dibeli di luar. Dan itu bagi mereka yang berkemampuan. Bagaimana pula keadaan mereka yang kurang berkemampuan?

Alternatif lain ialah mandi di kolam renang. Bagi penghuni pangsapuri yang mempunyai fasilitas kolam renang, beruntunglah kerana sekurang-kurangnya boleh terjun kolam renang.


Itupun dilihat mereka yang masuk ke dalam kolam renang, tidak menggunakan pakaian mandi yang sepatutnya.

Main terjun pakai t-shirt dengan seluar pendek. Itu tidak bagus dan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia mencemarkan air kolam.

Walaupun air kolam dimasukkan klorin tetapi lunturan warna daripada t-shirt dan seluar yang bukan khusus untuk digunapakai (swimming attire), akan mencemari air kolam berkenaan.

Tetapi sikap masyarakat di negara kita yang tidak boleh ditegur walaupun teguran itu secara baik dengan niat demi kebaikan bersama.

Satu lagi alternatif yang ada ialah menggali perigi. Teringat era 1970-an di mana perigi menjadi sumber air.

Ketika itu, pili-pili kerajaan yang terletak di tepi jalan menjadi tumpuan. Pada masa itulah, akan kelihatan getah-getah paip berselirat untuk menyambung air paip ke rumah-rumah.

Untuk menggali perigi, bukannya mudah. Lokasinya perlu ada mata air. Galilah macam mana sekali pun, kalau tiada mata air, dari mana nak datangnya sumber air?

Sedalam manakah perigi itu mahu digali? Dan apakah segala faktor keselamatan diambil kira, difikirkan sedalam-dalamnya dan bukan mencari jalan penyelesaian untuk short term.

Perigi yang terdedah mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang mungkin tidak dikawal pergerakannya oleh ibu bapa. Bolehkah anda bayangkan jika berlakunya insiden terjatuh ke dalam perigi?

Kalau perigi yang digali itu tohor, tidak mengapalah. Apa kata kalau perigi yang digali itu, dalam?

Masalah air tidak akan berakhir esok atau lusa. Ia akan berulang lagi dan lagi dan kembali menghantui rakyat negeri Selangor. Langkah apakah yang perlu diambil oleh pihak berwajib agar rakyat tidak hidup menderita apabila ketiadaan air. – SM

(Visited 648 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button