Politik

RCI: Mujahid sedia dedah langkah Kerajaan PH selamatkan Tabung Haji

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agamad) Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan Tabung Haji.

Mujahid berkata, dia juga akan mendedahkan laporan polis yang dibuat ke atas individu yang terlibat dalam penyelewengan dana TH sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang akan ditubuhkan bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Taabung Haji (LTH).

Beliau menegaskan, penubuhan RCI Tabung Haji tersebut perlu telus dan profesional tanpa agenda politik.

“Sejak awal lagi saya menyokong RCI dibuat tetapi anggotanya perlulah terdiri dari pakar yang berkelayakan.

“Saya juga heran kenapa Pelan Penstrukturan Semula tidak termasuk dalam terma rujukan RCI sedangkan pelan tersebut dirangka berpandukan kepada rumusan dapatan dari firma audit yang disebutkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH dari tahun 2014 hingga 2020.

Siasatan itu berkaitan hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Mujahid berkata, sepanjang tempoh 22 bulan diberikan amanah menjaga TH, beliau dan pasukan TH telah bertindak berpandukan laporan firma audit profesional yang disebut untuk menjayakan pelan penstrukturan semula kerana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangan dan integriti.

“Dua perkara asas yang saya lakukan segera iaitu pertama, memastikan pengeluaran hibah (dividen) hendaklah mematuhi Akta TH (1995) yang telah dilanggar sejak 2014. Kedua ialah menutup jurang defisit antara Aset dan Liabiliti yang mengikut laporan audit 2017 adalah sebanyak RM 4 Bilion.

“Pelan Penstrukturan Semula TH diperkenalkan secara telus dan mendapat kelulusan kabinet serta dijelaskan di dalam parlimen secara terbuka. Isu TH kembali hangat apabila PN berkuasa dan isu ‘jual aset orang Islam’ terus disensasikan walaupun kejayaan pelan penstrukturan TH diperakui oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020.

Terma itu bagaimanapun tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

“Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.

“Mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan semalam.-SM

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button