Mahkamahpilihan

Sepasang suami isteri, nelayan, tukang bot berdepan hukuman gantung

Empat individu termasuk sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dituduh mengedar dadah seberat 99.26 kilogram (kg) di Mahkamah Majistret, Jasin, Melaka di sini hari ini.

Kesemua tertuduh, Mohd. Nor Fazdli Kamarudin, 38; Muzairi Mustapa, 44, dan isterinya, Rozita Ab. Wahab, 41, serta Mohd. Najib Jaafar, 44, dihadapkan dengan dua pertuduhan.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 82,640 gram kira-kira pukul 3.00 petang di sebuah rumah di Taman Serkam Jaya, Merlimau dalam daerah Jasin.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 16,620 gram
di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kesemua mereka boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Izudddin Said manakala hanya Mohd. Nor Fazdli diwakili Peguam Salim Bashir.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung mati mandatori.

Akhbar sebelum ini melaporkan, lapan individu termasuk dua pasangan suami isteri yang disyaki terbabit pengedaran dadah antarabangsa dicekup polis bersama dadah bernilai RM3.8 juta pada 4 Januari.

Tangkapan membabitkan dadah yang beratnya hampir 100 kilogram itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 48 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Merlimau, Melaka dan Selangor.

Dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di negeri ini serta satu di Petaling Jaya, Selangor, polis berjaya menahan lapan suspek berusia antara 28 hingga 48 tahun. – SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button