Nasional

Rayuan rakyat untuk tidak letak jawatan tidak dapat saya sambut – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menjelaskan beliau tidak dapat menyambut rayuan daripada rakyat untuk tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Menurut Muhyiddin, tindakannya meletakkan jawatan selaras dengan sumpah jawatan yang telah dilakukannya sebelum ini.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari.

“Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya dalam ucapan khas sebentar tadi.

Beliau turut menjelaskan telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan

Bagaimanapun ikhtiar tersebut tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

Tambahnya, apa yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah dan merupakan salah satu daripada episod sejarah perjuangan politik yang dilaluinya.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

“Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi,” kata Muhyiddin.

Beliau menegaskan jawatan yang dipikul bukan suatu kemegahan sebaliknya ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya,” katanya.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau sama sekali-kali tidak akan bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat dan mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.-SM

 

 

 

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button