Parlimen

Rayer saran peruntukan Jasa, Penggerak diberi kepada Rukun Tetangga

AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyarankan peruntukan yang disalurkan kepada Penggerak Komuniti dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) disalurkan kepada Rukun Tetangga bagi mengalakkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, Rukun Tetangga hanya memperoleh RM900,000 dalam Belanjawan 2021 sedangkan Penggerak Komuniti menerima RM8.6 juta dan Jasa pula mendapat RM81 juta.

“Bolehkah wang ini disalurkan kepada rukun tetangga untuk digunakan oleh mereka untuk membina perpaduan dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang akan memberi manafaat kepada masyarakat selain membina perpaduan.

“Pada masa sekarang bolehkah kita juga memohon rukun tetangga menjalankan tugas seperti memberi bantuan makanan kepada masyarakat, pelitup muka. Mereka seperti tidak wujud,” kata Rayer dalam sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Rayer kurang faham peranan yang dimainkan oleh Rukun Tetangga.

“Saya rasa kenyataan Jelutong mengenai rukun Tetangga dan peranan yang dimainkan adalah tidak tepat dan meremehkan pengorbanan jawatankuasa dan rangkaian rukun tetangga yang kita.

“YB kalau betul-betul prihatin dan ingin tahu boleh datang ke pejabat dan kita boleh tunjukan setakat mana aktiviti-aktiviti yang diadakan,” kata Lian Ker.

Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Jelutong adakah Kerajaan merancang untuk
menggubal satu akta perhubungan untuk mengawal semua perkara melibatkan perhubungan kaum yang semakin tenat, Lian Ker berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan pengubalan akta perhubungan kaum.

Ini kerana undang-undang yang sedia ada sudahpun merangkumi dan mencukupi untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

Lian Ker berkata, mereka yang sengaja memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian boleh disiasat dan didakwa di bawah Sub-seksyen 41 Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan menghasut dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan Sekysen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kesalahan menggunakan secara tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata Lian Ker.-SM

 

 

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button