Politik

Ahli UMNO tentukan pucuk pimpinan baharu dalam pemilihan

SEBARANG perubahan pucuk kepimpinan dalam parti UMNO akan dilakukan oleh ahli melalui pemilihan yang akan dilaksanakan tahun ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perubahan pemimpin dalam UMNO tidak akan berlaku disebabkan desakan di luar pemilihan parti tersebut.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendokong ketetapan Datuk Seri Presiden UMNO untuk meneruskan proses pemilihan bagi semua jawatan dalam parti pada tahun ini, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.

“Sebagai sebuah parti yang berperaturan dan menjunjung tradisi demokrasi, suara akar umbi mengenai kedudukan semua posisi kepimpinan dalam hirarki parti mestilah dihormati,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi berkata, walaupun UMNO meraikan perbezaan pandangan namun pada waktu ini bukan masa yang sesuai untuk berpolemik berkenaan kedudukan kepimpinan tertinggi parti.

Sebaliknya setiap ahli perlu mengutamakan solidariti dan menghormati institusi parti tersebut.

Justeru beliau meminta ahli-ahli UMNO supaya sentiasa berada di barisan hadapan untuk membantu dan membela isu-isu rakyat.

Ini kerana pada waktu ini rakyat ditimpa kesusahan dan gelisah memikirkan kelangsungan hidup disebabkan pandemik Covid-19 yang masih menjadi ancaman kesihatan di negara ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk melaksanakan pemilihan pucuk kepimpinan baharu di semua peringkat tahun ini. Bagaimanapun tarikh pemilihan akan dimaklumkan kemudian.

UMNO turut mengambil keputusan untuk menunda perhimpunan agung yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari ini.

Ia berikutan penguatkuasaan Proklamasi Darurat serta Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal jangkitan Covid-19.-SM

(Visited 535 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button