Sukan

SIC tidak tolak kemungkinan anjur semula F1

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menolak kemungkinan kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, Azhan Shafriman Hanif.

Bagaimanapun, katanya, banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuk kos penganjuran perlumbaan berprestij itu yang menelan belanja yang agak tinggi.

“Menganjur semula F1 bukan keutamaan saya buat masa ini, tapi jika ada peluang dan mendapat tawaran yang bagus, saya menyokong idea ini kerana F1 telah membawa penjenamaan kepada Malaysia.

“Jika kita setuju menganjurkan perlumbaan F1 untuk jangka panjang, perbincangan akan diadakan dengan kerajaan kerana kos penganjuran adalah tinggi, dan duit yang akan dibelanjakan perlu mendatangkan pulangan yang baik kepada kerajaan serta peminat sukan itu,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Malaysia menganjurkan perlumbaan F1 sejak 1999 sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkannya pada 2017 ekoran penyusutan pulangan yang ketara.

Related Articles

Sementara itu, Azhan Shafriman, yang mempunyai pengalaman 13 tahun berkhidmat dengan syarikat gergasi minyak negara, Petronas, menegaskan beliau akan meneruskan program pembangunan sukan permotoran yang dimulakan oleh rakan sejawat terdahulu, Datuk Razlan Razali, yang kini bertugas sepenuhnya sebagai prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Katanya, SIC telah mengenal pasti bakat muda untuk diserapkan ke dalam program berkenaan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelumba tempatan yang mampu mencabar pelumba Itali dan Sepanyol pada masa akan datang.  – BERNAMA

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button