Nasional

Rasmi GRS sertai Kerajaan Perpaduan – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi akan menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau.

Menegaskan perkara tersebut Perdana Menteri berkata, keputusan GRS itu sekali gus akan memperkukuhkan kestabilan politik negara dan boleh memberikan tumpuan kepada kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat.

“Ini bermakna kekuatan induk kita yang saya umumkan semalam termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sekarang GRS menunjukkan kita sudah mencecah kekuatan dua pertiga ahli Parlimen,” ujarnya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas 17 jam mengangkat sumpah jawatan itu semalam di bangunan Perdana Putra, Putrajaya di sini hari ini.

Berhubung pembentukan Kabinet beliau berkata, semua ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diminta untuk mengemukakan nama bagi melantik mereka menganggotai Kabinet baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan Perpaduan beliau perlu merujuk kepada ketua-ketua parti yang berada dalam pentadbiran itu bagi mengemukakan senarai nama tersebut.

“Kita kena faham kerajaan Perpaduan ini sebagai seorang Perdana Menteri perlu merujuk kepada semua ketua-ketua parti untuk mereka mengusulkan nama dan seharusnya saya memberi pertimbangan
sedemikian.

“Selain itu, saiz Kabinet yang akan saya umumkan sesegera mungkin adalah bersaiz kecil. Saya juga akan meminta ahli Kabinet yang akan dilantik agar setuju untuk mengurangkan gaji. Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” ujarnya.

Terdahulu Anwar memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat.

Ketibaan beliau di blok utama Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri kira-kira pada pukul 9.55 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera
Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Anwar yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan berkenaan.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudian mengaminkan doa yang dipimpin Pegawai Integriti Jabatan Perdana Menteri (JPM) Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

Sejurus tiba di Perdana Putra, Anwar sempat melambai tangan ke arah pengamal media yang ‘berkampung’ di luar pekarangan Perdana Putra menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut beramah mesra dengan penjawat awam yang menunggu ketibaan beliau di lobi Perdana Putra.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button