Nasional

Rasai kopi asli Vietnam di Kampung Teluk Belanga, Melaka

SIAPA pun tidak menyangka di sebuah Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, Masjid

Tanah, Melaka dekat sini terdapat sebuah restoran makanan halal Vietnam yang dikenali sebagai Cafe In Farm.

Kebiasaannya restoran atau cafe Vietnam dibuka di kawasan pekan atau bandar besar dan kurang terdapat di kawasan kampung.

Mungkin ramai menyangka restoran makanan Vietnam adalah tidak halal, namun di Cafe In Farm, makanan serta minuman yang disaji adalah halal.

Paling istimewa jika berpeluang berkunjung ke sini adalah kopi asli dari Vietnam antara yang menjadi tarikan dengan jolokan ‘Rasai Coffe Vietnam Sebenar’.


Tidak dinafikan kopi Vietnam adalah antara yang tersohor di dunia selepas Brazil dan Indonesia.

Mohd. Zain Idris dan Saphina Mohamad menghidangkan kopi tulen Vietnam kepada pelanggan.

Tidak hairanlah ramai pelanggan khususnya dari luar berkunjung ke cafe ini mahu merasai nikmat kopi tulen yang didatangkan khas dari Vietnam sendiri.

Pemilik Cafe In Farm, Mohd. Zain Idris, 63, berkata, idea membuka kedai makanan sajian asli Vietnam itu datang daripada isterinya, Saphina Mohamad, 42, berketurunan Melayu Champa yang dilahirkan di Ho Chi Minh.

Menurutnya, kopi asli dari Vietnam adalah antara sajian yang paling mendapat perhatian daripada
pelanggannya yang kebanyakkan datang dari luar Melaka.

“Kopi terbaik ini diperoleh daripada ladang di Hanoi serta diproses di Ho Chi Minh. Isteri saya mempunyai kenalan peladang kopi terbaik untuk dieksport dibawa ke tempat saya.

“Memang diakui kopi Vietnam adalah antara tiga terbaik di dunia. Oleh itu, orang ramai yang berminat ingin merasai nikmat kopi ini boleh datang ke tempat saya,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Zain berkata, harga secawan kopi Vietnam adalah antara RM6.00 hingga RM6.50 dihidangkan panas serta sejuk.

Beliau berkata, makanan yang disaji masih mengekalkan ketulenan masakan Vietnam, cuma bezanya, 100 peratus makanan yang dimasak tidak menggunakan serbuk perasa ajinomoto.

Kopi tulen Vietnam dan makanan tradisional habaq.

“Kalau di Vietnam, kebanyakan masakan mereka menggunakan ajinomoto. Namun kami tidak mahu menggunakan ajinomoto kerana tahu pelanggan amat prihatin mengenai kesihatan mereka,” jelasnya.

Menurutnya, antara tarikan utama makanan yang dijualnya ialah pho atau mee Vietnam, habaq selain sup tulang daging lembu.

Jelasnya, sup yang dijual di cafenya lain daripada yang lain kerana direbus antara 10 hingga 24 jam kadang-kadang memakan masa dua hari bagi menambah kelazatan selain ditambah herba-herba bergantung kepada permintaan pelanggan.

Suasana menarik serta damai di Cafe In Farm di Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka.

Antara masakan lain yang dijualnya ialah ikan bakar, itik bakar, kambing bakar, nasi goreng Vietnam, sayur bayam Brazil goreng tepung dan sebagainya. Operasi cafenya dibuka setiap hari daripada pukul 12.00 tenghari hingga 12.00 tengah malam.

Menurut Mohd. Zain dia bersama isteri mengusahakan cafe tersebut selepas menutup perniagaan mengedar kereta terpakai di Kuala Lumpur kerana menanggung kerugian.

Kebetulan katanya, dia mempunyai sebuah ladang tanaman pelbagai jenis tumbuhan serta membela lembu, kambing dan ayam juga ditutup sebelum memulakan perniagaan Cafe In Farm, makanan halal Vietnam yang membuka jalan untuknya berjaya dalam bidang diceburinya.

Katanya, perniagaannya berkembang semula selepas dua tahun ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Katanya, pelbagai makanan serta minuman yang dijual dicafenya kini mendapat sambutan selain penduduk setempat ia turut menarik perhatian daripada pelancong domestik yang berkunjung ke pantai peranginan Pengkalan Balak.

“Inilah satu-satunya cafe menjual makanan halal Vietnam di Masjid Tanah. Keunikan makanan Vietnam yang dijual di sini adalah masakan Islam Melayu Champa dan tidak perlu sangsi lagi,” ujarnya.

Operasi cafenya dibuka setiap hari daripada pukul 12.00 tenghari hingga 12.00 tengah malam. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohd. Zain ditalian 016-3287717. – SM Melaka

(Visited 325 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button