Nasional

Raja Muda Perlis titah pelihara perpaduan, keharmonian

Kita rakyat di Malaysia secara umumnya dan di negeri Perlis secara khususnya amat beruntung dan bertuah sekali kerana dapat hidup dalam sebuah negara dan negeri yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya, adat resam dan bahasa dengan begitu rukun, aman dan damai.

Perpaduan dan keharmonian ini merupakan sebuah khazanah yang perlu sentiasa disubur, disemai dan dipertahankan oleh generasi hari ini dan akan datang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program sambutan dan perayaan Solstis Musim Sejuk (Chinese Winter Solstice – Dongzhi) 2020 yang diadakan di Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar.

Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Bahagian Wanita Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis
itu disambut oleh pengerusinya, Dr. Tan Fee Youn.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Puteri Sharifah Farah Adriana.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Dr. Tan memaklumkan bahawa sambutan hari Chinese Winter Solstice (Dongzhi) ini adalah bersempena perayaan kebudayaan penting yang diraikan khususnya di negara China, Korea, Jepun dan Vietnam sebagai menandakan kemuncak musim sejuk.

Bermula dari hari tersebut, matahari akan bersinar lebih lama, menandakan bermulanya tahun baru yakni perkiraan sebelum wujudnya kalendar.

Tambah Dr Tan, menurut tradisinya, pada hari tersebut juga ahli keluarga dan saudara-mara akan bersama-sama membuat ‘Tangyuan’ iaitu bebola beras pulut yang dimakan sebagai tanda perjumpaan, kesatuan dan kebahagiaan semula memandangkan ramai ahli keluarga dan suku kaum akan berkumpul untuk menyambut hari tersebut.

Oleh yang demikian, sempena sambutan musim ini, adalah diharapkan semoga tahun baru kali ini akan membawa perubahan yang lebih baik kepada ekonomi, hidup dan hubungan antara semua.

(Visited 687 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button