Nasional

Hijrah dari UMNO, BN kepada PH tidak jadikan negara, rakyat lebih baik

‘PENGHIJRAHAN’ daripada UMNO dan Barisan Nasional dengan menyokong dan menyertai Pakatan Harapan (PH) bukan satu hijrah yang baik.

Hijrah itu kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjadikan negara dan rakyat menjadi lebih baik.

Oleh itu beliau mengingatkan orang ramai supaya merenung kembali perjalanan ‘hijrah’ golongan yang telah meninggalkan UMNO dan BN ketika PRU14 lalu.

“Tanyalah kepada mereka yang diberhentikan kerja, adakah itu penghijrahan yang baik?

“Tanyalah kepada mereka yang ditarik bantuan, adakah itu penghijrahan yang lebih baik?

“Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan sejuta peluang pekerjaan yang berkualiti, adakah penghijrahan yang mereka mahukan itu berlaku?

“Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan dengan penghapusan hutang PTPTN dan hutang Felda, adakah hijrah yang mereka mahukan itu tercapai?

“Adakah aset-aset umat Islam semakin bertambah? Atau semakin berkurang, dilelong oleh orang yang mereka tuju itu.

“Sudah tentulah tidak.

“Sempena tahun baru Maal Hijrah hari ini, saya dengan rendah diri ingin mengajak semua rakyat Malaysia hayatilah maksud sebenarnya hijrah.

“Janganlah kita tertipu lagi dengan orang-orang yang tidak baik seperti itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu mengajak rakyat kembali menyokong UMNO dan BN yang telah terbukti mampu menjaga kebajikan mereka secara keseluruhannya.

“Janganlah terpedaya lagi dengan orang-orang yang menjanjikan bulan dan bintang kerana hakikatnya itu bukanlah erti penghijrahan yang sebenar.

“Siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan. Semua melakukan kesilapan termasuk saya,” kata Najib. – SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button