Nasional

Ramai salah faham ‘pengampunan hutang’, ‘penciptaan wang’

“Ramai pihak salah faham mengenai konsep ‘pengampunan hutang’ dan ‘penciptaan wang'”

Itu tegas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang ketika ini berhadapan dengan kritikan berhubung cadangannya supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Cadangan tersebut dilontarkan beliau ketika diwawancara oleh sebuah stesyen radio pada Isnin lalu.

Kata Ketua Pemuda Bersatu itu, tajuk tersebut sememangnya teknikal dan perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Nampak ramai salah faham dalam mengkritik berkenaan “pengampunan hutang” dan “penciptaan wang” yang saya kupas tempoh hari dalam Bahasa Inggeris dalam siaran BFM.


“Jujur tajuk ini memang teknikal dan perlu perbincangan lanjut dan asas tentang asal usul wang, dan perbankan moden.

“Kalau tidak jelas, maka jadilah andaian-andaian palsu kononnya akan berlaku hiper-inflasi seperti Zimbabwe. Ini tidak tepat seperti yang dijelaskan dalam makalah yang diterangkan oleh Biro Ekonomi Armada Nasional,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Bercakap di radio BFM pada Isnin lalu, timbalan menteri itu berkata, menerusi dasar kewangan “wang helikopter” dengan bank pusat secara langsung mencetak wang dan memberikannya kepada rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.

Makalah yang diterbitkan di Facebook Biro Ekonomi Armada Nasional hari ini mendakwa, Modern Monetary Theory (MMT) membawa satu dimensi baharu dalam dunia kewangan, apabila ia dilihat sebagai ‘penyimpangan’ besar dari teori ekonomi konvensional.

Teori tersebut mencadangkan kerajaan untuk mengawal dan mencetak mata wang mereka sendiri bagi tujuan pembangunan infrastruktur, dan pembayaran hutang di dalam matawang itu sendiri.

“Ahli teori MMT berpendapat bahawa percetakan wang semata-mata tidak boleh menjadi penyebab inflasi. Ia mesti disebabkan oleh perkara lain.

“Inflasi berlaku bukan kerana percetakan wang, tetapi ia berlaku apabila kegagalan sesebuah negara untuk menghasilkan cukup makanan atau barangan bagi membolehkan wang dibelanjakan ke atas makanan dan barangan ini.” kata Biro Ekonomi Armada Nasional.

Sementara itu, antara yang menolak cadangan tersebut adalah Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) PNB, Jalil Rasheed.

“Mencetak wang bukan penyelesaian buat Malaysia. Ia menurunkan nilai mata wang – sekarang pun ringgit sudah cukup lemah – apabila terlalu banyak sedang beredar.

“Ini seperti membahagikan kek dari 10 keping menjadi 20 keping. Bahagian anda menjadi lebih kecil,” ciapnya di Twitter malam tadi – tanpa membuat sebarang sebutan mengenai Wan Fayhsal.

Katanya, negara-negara yang mengamalkan dasar wang helikopter telah menyaksikan inflasi melampau seperti di Zimbabwe dan Venezuela.-SM

(Visited 105 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button