Nasional

Ramai peserta kursus positif Covid-19, kenapa AKMAL tidak ditutup?

MELAKA 17 Februari. – Ramai mempersoalkan mengapa Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Bukit Baru dekat sini tidak ditutup sementara waktu walaupun seramai 37 daripada 324 peserta Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa Kastam (KUSAS) WK19 disahkan positif Covid-19 sejak Sabtu lalu.

Turut disahkan positif wabak tersebut termasuk 11 kakitangan di akademi berkenaan malah ia turut menular kepada keluarga salah seorang daripada mereka membabitkan suami serta dua anak mereka.

Sumber memberitahu, seramai empat lagi peserta kurus disahkan positif hari ini dan keseluruhan menjadikan jumlah kepada 41 orang.

Menurutnya, walaupun 52 individu setakat ini disahkan positif Covid-19 namun akademi berkenaan masih berjalan seperti biasa.

Satu memo telah turut dikeluarkan oleh pihak pengurusan akademi berkenaan untuk kakitangan bertugas seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus secara bergilir-gilir sehingga 28 Februari ini.


Katanya, situasi tersebut kian meresahkan kakitangan yang bertugas termasuk peserta KUSAS yang mula melapor diri sejak 7 Februari lalu, masih berada di akademi berkenaan.

Ujarnya, peserta KUSAS sejak melapor diri belum menjalani sebarang kursus yang ditangguh sementara waktu ekoran penularan wabak tersebut dalam kalangan mereka.

“Kakitangan di akademi tersebut berharap AKMAL dapat ditutup sementara waktu sebab mereka semua merasa tidak selamat apabila 11 kakitangan yang bertugas turut telah disahkan positif pada Sabtu lalu.

“Kalau boleh akademi ini ditutup untuk dijadikan pusat kuarantin bagi mereka yang positif. Ini sudah bercampur-campur dengan mereka yang positif dan tidak dijangkiti wabak ini berada di akademi ini.

“Orang yang sihat pun jadi tak sihat dan apa yang pelik sanitasi yang dibuat di akademi ini dilakukan oleh cleaner. Kami yang bekerja bergilir pun terpaksa datang ke pejabat dalam keadaan ketakutan,” ujarnya hari ini.

Sumber itu menambah, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang ke akademi itu hari ini ada memaklumkan keadaan di situ dilihat kian menjadi kritikal.

“Ada pertambahan empat lagi peserta kursus disahkan positif menjadikan keseluruhanya seramai 41 orang keseluruhannya,” ujar sumber itu lagi.

Katanya, kira-kira pukul 2 pagi tadi, seorang peserta KUSAS yang sedang menjalani kuarantin telah dikejarkan ke Hospital Melaka akibat sesak nafas. -SM

(Visited 701 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button