Politik

Ramai marah PH sangka diperkuda UMNO dalam ‘Langkah Perak’

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan membantu ADUN UMNO menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu sebagai Menteri Besar Perak turut mengundang kemarahan penyokong parti itu.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Howard Lee Chuan How berkata, kemarahan itu timbul disebabkan penyokong PH berpendapat bahawa UMNO telah ‘memperkudakan’ ADUN PH dalam mencapai matlamat untuk merebut kerusi menteri besar.

“Ramai tertanya-tanya berkenaan nasib Pakatan Harapan Perak selepas membantu UMNO Perak menggugurkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar, dengan penggantinya datang daripada UMNO.

“Ramai juga meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap Pakatan Harapan Perak kerana menyangka diperkudakan oleh UMNO sehingga mencapai matlamat mereka merampas kerusi Menteri Besar Perak daripada genggaman Bersatu,” kata Howard.

ADUN Pasir Pinji itu meminta penyokong PH untuk tidak bimbang kerana segala tindakan yang diambil oleh ADUN PH adalah atas dasar prinsip.

Katanya, PH Perak rela untuk kalah buat sementara asalkan rakyat mendapat untung dari tindakan yang telah diambil.

“Kepada para penyokong Pakatan Harapan, jangan bimbang, semuanya dilaksanakan atas prinsip, kejujuran dan amanah. Kami sentiasa mendengar serta memahami kegusaran anda.

“Dalam iklim politik, ekonomi terkini yang dihantui kebuntuan, serta wabak Covid-19 di mana rakyat kian muak dengan telatah pemimpin kerajaan Perikatan Nasional, susah dengan penderitaan dan kesengsaraan, kami rela ‘kalah’ buat seketika asalkan rakyat yang untung. Kami redha, kerana ia adalah kewajipan kami,” jelas Howard.

Howard mengakui tampak dari luar kelihatan PH telah mengalami kerugian dan tewas dalam ‘Langkah Perak’.

Bagaimanapun katanya, tindakan yang diambil oleh ADUN PH dalam undi percaya yang diusulkan ADUN UMNO sebenarnya telah menguntungkan rakyat khususnya di DUN yang dikuasai oleh PH.

Jelas beliau, buat pertama kali dalam sejarah Negeri Perak semua kawasan DUN mendapat peruntukan adil dan saksama tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang.

Peruntukan tersebut boleh digunakan untuk rakyat kawasan DUN masing-masing bagi program-program rakyat.

Selain itu kesemua 59 ADUN Perak daripada semua parti akan menduduki Jawatankuasa Tindakan Daerah yang merupakan jawatankuasa paling berimpak tinggi dan berkuasa dalam perihal penyelesaian permasalahan setempat.

ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang juga katanya sama-sama dilantik dalam jawatankuasa kumpulan sasar pembasmian kemiskinan daerah dan jawatankuasa pengurusan bencana daerah.

Menurut Howard, kerajaan negeri juga bersetuju untuk meminda perintah tetap Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira wang Negeri dilantik dari kalangan ADUN Pembangkang.

“Ini merupakan suatu langkah reformasi institusi yang membawa Negeri Perak satu lagi langkah kemajuan ke arah demokrasi bertaraf dunia.

“Jawatan Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri juga diiktiraf secara rasmi dengan implikasi kewangan pejabat Ketua Pembangkang diperuntukkan dalam belanjawan 2021, dan juga bakal dimaktubkan dalam perintah tetap DUN,” kata Howard.

Katanya dengan pembaharuan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perak pimpinan UMNO itu, rakyat negeri Perak bakal menyaksikan segenap wakil rakyat berfungsi secara lebih effisyen menghadapi serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

Langkah itu juga akan membuka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya.

“Dengan penggemblengan dan penglibatan yang lebih luas oleh semua ADUN, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak,” kata Howard.-SM

 

 

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button