Rencah Hidup

Ramai kagum pempengaruh jutawan masak sendiri 340kg sotong untuk disedekahkan

SEBAGAI umat Islam, adalah menjadi kewajipan bagi setiap hamba-Nya melakukan kebaikan sesama manusia termasuklah amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Apatah lagi jika sesuatu yang ingin disedekahkan itu disediakan sendiri oleh si penderma.

Begitulah dilakukan oleh pempengaruh dan usahawan, Aleeya Zailan dan suami, Azri Aziz yang seikhlas hati memasak sendiri hidangan untuk diagihkan kepada 340 jemaah masjid sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid As-Syakirin Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menerusi video dikongsikannya di media sosial, kelihatan Aleeya dan Azri serta beberapa pembantu bertungkus-lumus menyediakan masakan.

“Sebanyak 340kilogram sotong sedia untuk dimasak sebelum dibawa ke masjid bagi menjamu jemaah yang hadir.

“Bahkan, kami turut menyajikan beberapa lauk lain seperti sambal sardin, gulai daging dan sayur goreng,” celotehnya sambil sibuk menumis bahan masakan.

Mencecah ratusan ribu tontonan, rata-rata warganet menyifatkan sikap ditunjukkan Aleeya dan keluarganya itu sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan individu berstatus jutawan.

Manakan tidak, mereka berpendapat bahawa Aleeya semestinya mampu menghidangkan sebarang menu diingini dengan mengupah katerer, namun pasangan berkenaan memilih menyiapkannya sendiri dari awal hingga akhir.

Bukan itu sahaja, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk barangan asas dan keperluan harian kepada para asnaf yang tinggal di kariah masjid tersebut.

Lebih menarik menurut Aleeya, segala bahan masakan dibeli menggunakan duit gift yang diperolehi daripada para pengikutnya ketika bersiaran langsung di TikTok dan Facebook. – SM

(Visited 440 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button