Luar Negara

Rakyat Thailand berebut daftar aplikasi PlookGanja

Thailand negara Asia pertama benarkan rakyatnya tanam ganja

KITA menghormati kerajaan negara jiran, Thailand yang unik dan mencipta sejarahnya yang tersendiri tetapi itu tidak bermakna Malaysia juga perlu menurut jejak langkah Thailand.

Thailand menjadi negara Asia pertama menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

GANJA biar apapun tujuannya kesan jangka panjang harus diambil kira kerana pernah suatu ketika dahulu, candu menghancurkan rakyat China.

Mulai hari ini, kerajaan mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja kecuali bunga dan perbungaan daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979 supaya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis secara rekreasi masih diharamkan.

Penggunaan ekstrak ganja tidak boleh melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) dan jika melebihi ia dianggap melanggar undang-undang.


Susulan langkah Thailand itu, hampir 100,000 orang bergegas mendaftar di aplikasi kerajaan PlookGanja hari ini untuk memohon menanam tumbuhan berkenaan dan portal alternatif telah disediakan berikutan sambutan menggalakkan.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand, Dr Paisarn Dunkum berkata, aplikasi itu dimuat turun lebih 50,000 kali hari ini.

Beliau memberi amaran bahawa sijil itu boleh dibatalkan serta-merta jika penanam gagal mematuhi peraturan.

“Orang ramai boleh memohon untuk menanam ganja bagi kegunaan isi rumah sahaja. Untuk kegunaan bukan isi rumah, ia memerlukan kebenaran rasmi,” katanya.

Selain itu, mulai esok 1,000 pokok ganja akan diedarkan secara percuma kepada penduduk di Buriram.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, pemberian percuma itu sebagai permulaan kepada kempen pengagihan 1 juta tumbuhan ganja di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah untuk kegunaan memasak dan perubatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Thawatchai Chaiwat berkata, kira-kira 3,000 banduan yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan ganja sahaja dibebaskan hari ini berikutan pembatalan penyenaraian ganja daripada senarai narkotik.

Menurut Kementerian Kehakiman, kesemua 7,488 kes ganja di mahkamah juga akan digugurkan termasuk semua kes yang sedang dalam siasatan polis, lapor portal berita The Nation.

Makanan, minuman dan snek yang mengandungi ekstrak ganja kini menjadi makanan popular terbaharu di Thailand apabila ganja tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan jenayah mulai hari ini. – SM

 

(Visited 62 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button