fbpx
Nasional

Rakyat tempatan dari Nigeria, Sudan tiba di tanah air

SERAMAI 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria selamat tiba di tanah air jam 9.15 pagi tadi melalui penerbangan repatriasi yang diatur oleh kerajaan negara itu melalui pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, 67 penumpang pelbagai negara yang turut terkandas di Nigeria sejak penularan Covid-19 juga menaiki pesawat yang sama.

“Kesemua mereka terdiri daripada warga Australia sebanyak sembilan orang, Brunei (3), China (1), Filipina (3), Indonesia (1), Kanada (1), Nigeria (6), Pakistan (1), Singapura (1), Taiwan (9) dan Thailand (32)

“Mereka akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA> Tok Mat sokong pendapatan garis kemiskinan RM2,208

Menurut Kamarudin, kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia ini dimudahcara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria.


“Kos pembiayaan penerbangan itu ditanggung secara persendirian oleh penumpang berkenaan.

“Sebelum ini, 27 rakyat Malaysia di Nigeria pulang ke tanah air pada 24 Jun lalu menerusi penerbangan repatriasi anjuran Kerajaan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Jelas Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri, beliau mewakili kerajaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria kerana telah membantu proses kepulangan rakyat Malaysia ke sini.

BACA> Jangan terpedaya sindiket penipuan guna logo LHDN

Sementara itu, ujar beliau, sebanyak 11 penuntut Malaysia dari Khartoum, Sudan juga tiba di tanah air selepas melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines jam 2.35 petang semalam waktu Sudan.

“Semua penuntut terbabit selamat tiba di KLIA jam 3.44 petang tadi.

“Kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini juga dimudahcara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh penumpang,” katanya.

Jelas beliau, kementeriannya melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa.

Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button