Nasional

Pembinaan semula kedai yang terbakar di Pasar Dato Keramat akan cuba dilakukan serta merta

BANTUAN tunai buat semua yang terlibat dengan kejadian kebakaran di Pasar Dato Keramat akan diberikan hari ini bagi meringankan beban kesemua mangsa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya juga sedang melihat bantuan-bantuan lain yang diperlukan untuk mangsa yang terlibat.

“Apa yang saya inginkan ialah supaya para peniaga yang terlibat dalam kebakaran itu dapat bekerja semula. Itu yang penting.

“Kita juga akan berbincang untuk membina semula kedai-kedai yang terlibat kerana tapak ini sedang dalam rundingan dengan pemaju.

“Apa-apa pun kita kena tunggu laporan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan cuba untuk membina semula kedai-kedai yang terlibat secepat yang mungkin. Kalau boleh sebelum Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun untuk melihat sendiri beberapa kedai di Pasar Dato Keramat yang terbakar petang semalam.

Selain Annuar, turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Nardim Awang turut hadir dan menyampaikan bantuan wang ihsan daripada Perdana Menteri kepada peniaga yang terlibat.

Annuar pada malam itu turut bertemu dengan para peniaga untuk bertanya keadaan semasa mereka termasuk kesan dan kerugian yang mereka hadapi.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kebakaran itu kira-kura pukul 5.26 petang.

Bomba memberitahu yang api merebak dengan begitu pantas akibat kedai yang dibina dengan rapat dan tiada dinding penghalang api antara satu sama lain.

Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kita sejam selepas itu dan tiada mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

(Visited 398 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button