Nasional

PKP dilaksanakan di enam negeri mulai Rabu ini

KERAJAAN mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksnakan di enam buah negeri selama 14 hari bermula Rabu (13 Januari)  ini.

Negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Pelaksanaan PKP adalah selepas mengambil kira peningkatan jumlah kes setiap hari dalam gelombang ketiga dan kemampuan hospital untuk merawat pesakit Koronavirus (Covid-19)

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di enam buah negeri lagi dan PKP Pemulihan (PKPP) di dua negeri.

Justeru, langkah pembendungan adalah penting bagi memastikan penurunan kes baharu dicatatkan.

Penguatkuasaan perintah tersebut adalah berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelbagai kementerian dan agensi serta pakar kesihatan awam dalam negara.

“Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19.

“Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

“Pertama, PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.”

Demikian pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu perutusan khasnya hari ini mengenai perkembangan kawalan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan PKP adalah selepas mendapati tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri terbabit mencapai kapasiti maksimum.

Bagaimanapun, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

“Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata.

“Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang.

“Dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat,” katanya.

Untuk makluman, kes Covid-19 kini meningkat empat angka setiap hari sejak tiga bulan terakhir tahun lalu.

Hal demikian menyebabkan KKM menjangkakan negara berisiko mencatatkan 8,000 kes baharu dalam pada minggu keempat pada Mei nanti.

Justeru, perkara itu amat dibimbangi ramai pihak dan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi membendung penularan gelombang ketiga ini. – SM

(Visited 838 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button