Alam Sekitar

Rakyat Perlis harus bersyukur masih hidup dalam persekitaran terkawal – Raja Muda Perlis

Rakyat khususnya di Perlis seharusnya sentiasa bersyukur kerana di negara ini, kita masih dapat hidup di dalam persekitaran yang masih baik dan terkawal. Udara serta sumber air di Perlis kurang tercemar. Kita juga jarang mengalami cuaca yang ekstrim yang mengakibatkan mala petaka seperti banjir besar, tanah runtuh dan sebagainya. Selain itu, bekalan air bersih juga bukan isu di negeri ini.

Oleh itu, masyarakat diseru untuk bersama-sama melipatgandakan usaha bagi terus menjaga persekitaran kita dengan lebih baik lagi bagi mengurangkan pencemaran terhadap udara, sumber air dan sumber makanan kita. Apabila persekitaran kita kondusif, maka kesihatan kita juga akan terjamin.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Istiqamah, Telok Jambu dekat Kangar baru-baru ini. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang diagihkan melalui amilnya Yunus Kasa.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menitahkan sempena Hari Bumi yang diperingati pada 22 April setiap tahun dengan tema ‘Invest in Our Planet’ pada kali ini bagi menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar, bahawa ‘Peningkatan kes penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria, bekalan makanan dan air minuman yang tidak selamat serta kejadian-kejadian yang berlaku ekoran cuaca yang ekstrim seperti banjir besar di sesetengah tempat lain telah memberi pengajaran berguna kepada kita bahawa ianya boleh memberi tekanan kepada ketidakseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan. Ia juga akan memberi impak yang sangat tinggi terutama sekali kepada golongan yang lemah dan rentan’.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menerangkan bahawa
pencemaran kepada persekitaran juga boleh menyebabkan rantaian makanan kita tercemar. Selain itu, peningkatan penghasilan makanan dan minuman berproses yang tidak sihat juga mampu menyebabkan peningkatan kepada masalah obesiti, penyakit kanser, penyakit jantung dan penyakit tidak berjangkit lain.


(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button