fbpx
Nasional

Rakyat Perlis diseru main peranan jayakan dasar kerajaan

RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat di negeri itu agar turut sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan usaha kerajaan tercapai.

“Saya berharap pertumbuhan ekonomi negeri akan berkembang, kukuh, sejahtera dan terus maju,” titah baginda ketika merasmikan Pesta Angin Timur 2020 (PAT 2020) di Jalan Lintasan Tengah, Kampung Oran, Mata Ayer dekat sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamad.

Baginda bertitah Perlis merupakan sebuah negeri yang indah dengan pemandangan alam semula jadinya, oleh itu, semua pihak perlu sama-sama mengambil tanggungjawab dan berganding bahu menjaga keindahannya termasuk infrastruktur serta kemudahan yang telah disediakan di destinasi pelancongan.


“Marilah kita bersama-sama memastikan kebersihan, keselamatan dan kekayaan budi bahasa rakyat negeri ini terus diperkukuhkan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah penganjuran PAT 2020 kali kelapan mampu mencapai objektif menyerlahkan keunikan aktiviti seni dan budaya masyarakat negeri itu sebagai antara produk pelancongan budaya serta terus merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, sekali gus mempromosi Tahun Melawat Perlis 2021.

“Saya percaya Pesta Angin Timur Perlis ini mampu mendekatkan masyarakat dengan aktiviti seni budaya tempatan yang mempunyai keunikan yang tersendiri, sekali gus memupuk pembangunan industri kreatif dalam pelbagai bidang seni budaya negara melalui penglibatan masyarakat luar bandar,” titah baginda.

Baginda berharap program itu dapat diteruskan pada tahun yang akan datang kerana penganjuran sebelum ini telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button