Ekonomi

Rakyat Perlis diseru ceburi bidang pertanian

Rakyat Perlis diseru supaya tidak melepaskan peluang bagi menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya sepenuh masa mahupun sampingan bagi menjana pendapatan masing-masing.

Melalui segala insentif yang tersedia, jabatan dan agensi pelaksana khususnya di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memainkan peranan bagi memastikan kesinambungan segala projek yang disediakan dan ianya mencapai objektif serta matlamat yang telah ditetapkan.

Pemantauan dari masa ke semasa dan khidmat nasihat serta program-program latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengetahuan para peserta juga harus dilaksanakan.

Pada masa yang sama golongan belia juga diseru agar kembali menceburi bidang pertanian melalui amalan teknologi terkini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau kebun tanaman sawi dan kangkung yang diusahakan oleh Shahidan Hamid di 961, Kg. Tok Kaya, Kuala Perlis baru-baru ini.

Antara yang turut ditanam dalam perusahaan yang mendapat bimbingan Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Negeri Perlis di kebun kediaman tersebut ialah pokok daun selon, kesum, bunga ros, bunga kemboja, kunyit hitam, limau kasturi, limau nipis, jambu batu tanpa biji dan juga betik sekaki.

Keberangkatan baginda ialah bersempena aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 68 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Firdaus Padang Besar Selatan baru-baru ini.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut menyarankan supaya pihak-pihak yang berwajib mempelbagaikan lagi insentif pertanian yang mampu secara langsung memberi manfaat kepada golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan untuk menjana pendapatan mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih selain turut singgah bagi mendapat taklimat terkini di kilang membuat SKASH Arabic Cocoa oleh Al-Haddad Industries (M) Sdn Bhd yang terletak di Halal Park MARA, Kawasan Industri Kuala Perlis dan disambut oleh pemiliknya, Syed Khairil Azri Sayid Hazir Al-Haddad.

(Visited 566 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button