Nasional

Cegah penyakit darah tinggi dengan gaya hidup yang sihat – Raja Muda Perlis

Penyakit tekanan darah tinggi boleh dicegah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam, kerap melakukan aktiviti fizikal serta mendapatkan pelbagai khidmat kesihatan yang disediakan di mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan.

Sesungguhnya rakyat disarankan agar memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan di klinik-klinik kesihatan terdekat. Antaranya ialah ‘Klinik Berhenti Merokok’ bagi mereka yang ingin berhenti merokok; ‘Perkhidmatan Kesihatan Mental’ sekiranya mengalami stres atau tekanan, kebimbangan yang teruk atau memerlukan sokongan mental; saringan kesihatan dan pemeriksaan tekanan darah secara berkala; serta rawatan awal bagi mereka yang berisiko dan bergejala.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 18 bagi Tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Al-Mustaghfirin Bukit Chabang, Padang Besar pada petang semalam

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Dan Hartanah Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab dan Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idrus Al-Habshee.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim menjunjung setinggi kasih di atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda Perlis menitahsarankan agar dilaksanakan satu inisiatif yang intensif bagi tempoh beberapa minggu ini secara bersama di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi mempromosikan kempen kesedaran ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat’ demi untuk memastikan kesejahteraan hidup jangka panjang masyarakat di negeri ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa ‘Hasil Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 bagi Penyakit Tidak Berjangkit’ mendapati prevalens penyakit darah tinggi di Malaysia adalah sebanyak 30.0%.

Negeri Perlis mencatat prevalens sebanyak 29.9% iaitu 3 daripada 10 orang atau dengan anggaran seramai 47,794 penduduk dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit darah tinggi.

Menurut Sirajuddin, secara amnya, penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai penyebab khusus tetapi faktor seperti pengambilan makanan yang mempunyai garam yang tinggi, sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan atau ‘stress’ dan diabetes dikaitkan sebagai punca penyakit ini.

Tambah beliau lagi, penghidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala khusus. Walau bagaimanapun gejala seperti sakit kepala yang teruk dan sakit tengkuk mungkin akan dialami bergantung kepada tahap tekanan darah. Tekanan darah yang tinggi boleh mengakibatkan strok yakni ‘angin ahmar’, serangan jantung, kegagalan fungsi buah pinggang serta kematian.

Bersempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada seramai sepuluh orang asnaf terpilih daripada kalangan anak-anak kariah masjid berkenaan. Turut dilaksanakan ialah ceramah berjudul ‘Rakyat Perlis Benci Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan promosi kemasukan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs.

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button