NasionalNegeri

Rakyat Perlis bersyukur solat Aidiladha di tanah lapang

RATA-RATA rakyat Perlis bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat Hari Raya Aidiladha sekalipun di musim pandemik Covid-19.

Masing-masing yang hadir ke masjid dilihat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan di mana memeriksa suhu badan, menulis nombor telefon bagi yang tiada aplikasi MySejahtera, memakai dua pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Jemaah mengikut SOP sebelum menunaikan solat.

Bagi rakyat negeri Perlis, ini merupakan kali kedua dibenarkan menunaikan solat jemaah hari raya di tanah lapang di mana yang pertama pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Rakyat berpeluang menunaikan solat berjemaah ini selepas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenankan pelaksanaan ini dilakukan di tanah lapang dekat pekarangan masjid mulai pukul 8 pagi.

Baginda bertitah, pelaksanaan ini adalah selaras dengan sunnah Rasulullah selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat ditunaikan di tempat tertutup.

Sementara itu, tinjauan SUARA MERDEKA, kira-kira 500 jemaah lelaki dan wanita hadir solat jemaah Aidiladha di Masjid Al Istiqamah, Telok Jambu, Bintong, Perlis.

Solat jemaah diadakan di kawasan parkir sebelah masjid berkenaan.

Anggota RELA ditugaskan untuk memastikan jemaah yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan.

Solat jemaah ini diimamkan oleh Ustaz Mohammad Amin Khosim yang merupakan imam masjid berkenaan dan turut membaca khutbah usai solat sunat Aidiladha.

Sementara itu, seorang jemaah wanita, Nor Hanan Hassan, 56 berkata, beliau berada di Masjid Al Istiqamah seawal pukul 7.30 pagi lagi.

“Alhamdulillah cuaca redup dan saya serta jemaah dapat menunaikan solat dengan selesa,” katanya.

Katanya, ini merupakan kali kedua beliau solat berjemaah di tanah lapang yang mengundang rasa sebak kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button