Nasional

Memanfaatkan penjimatan kos universiti awam

Oleh Jennifah Nordin

Dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19, sektor awam termasuk sektor pendidikan mesti bijak mengendalikan perbelanjaan.

Umum maklum, sektor pendidikan hari ini termasuk kebanyakan universiti awam (UA) sedang menjalankan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh (pembelajaran maya). Norma baharu ini sudah pastinya akan memberikan impak kepada perbelanjaan universiti.

Sumber Kewangan Universiti Awam

UA di Malaysia sangat bergantung kepada peruntukan daripaca kerajaan untuk operasinya. Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan belanjawan yang terbesar pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM64.1bilion.

Ini menjadikan sektor pendidikan sebagai satu daripada keutamaan negara. Hanya sedikit sumber kewangan UA yang datang daripada yuran pendidikan, kerja-kerja konsultansi universiti dan lain-lain.

Oleh itu, kebergantungan tinggi UA terhadap kerajaan ini menggambarkan pentingnya pengurusan kewangan dititik beratkan. Pengurusan kewangan awam boleh ditafsirkan sebagai alat yang digunakan untuk membuat keputusan bagaimana sektor awam mengurus pendapatan dan perbelanjaan awam.

Kecekapan UA mengurus kewangannya melambangkan sikap tanggungjawab, integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam. Isu ini harus dilihat secara serius kerana dana yang digunakan adalah bersumberdari pembayar cukai negara.

Penjimatan Perbelanjaan UA

Terdapat beberapa penjimatan perbelanjaan UA yang dapat dijangkakan sepanjang perlaksanaan sistem pembelajaran baharu ini. Perbelanjaan uitiliti yang melibatkan bil elektrik dan air pastinya telah berkurang dengan signifikan berikutan bilik kuliah, asrama, perpustakaan, kafeteria dan bilik bilik pensyarah tidak lagi digunakan.

Begitu juga dengan perbelanjaan penyelenggaraan fasiliti.  Penyelenggaraan kawasan, bangunan, penghawadingin, kenderaan, gimnasium dan lif, sekadar menyebut beberapa contoh akan mengalami penjimatan ketara. Berikutan kurangnya penggunaan fasiliti, maka kebarangkian kerosakan itu juga akan berkurang mendadak berbanding sebelum ini.

Perbelanjaan keraian termasuk penerbangan dan penginapan juga menikmati penjimatan yang tinggi. Ini kerana kebanyakan mesyuarat, seminar dan kursus dijalankan secara dalam talian.

Begitu juga dengan perbelanjaan beberapa jenis latihan yang sebelum ini membabitkn kos-kos makanan, tempat, honororium dan peralatan program yang besar.

Malah, latihan atas talian melalui media sosial seperti zoom atau google meet melibatkan kos yang sangat minimum. Dalam kebanyakan kes, penganjur hanya perlu menyedikn honorarium kepada penceramah.

Penceramah pula dapat menjalankan latihan di rumah atau tempat masing-masing dengan selesa. Ini merupakan kaedah menang-menang yang menguntungkan semua pihak.

Di samping itu, banyak aktiviti pelajar juga terpaksa dibatalkan atau ditangguh. Sekali lagi penjimatan berlaku dengan pengurangan pembiayaan makanan dan keperluan program. Pada masa yang sama, tuntutan kerja lebih masa kakitangan juga turut sama berkurangan.

Menjadikan penjimatan perbelanjaan satu realiti

Dalam banyak segi, penjimatan seperti yang dinyatakan di atas merupakan satu rahmat kepada pengurusan kewangan UA. Namun, persoalannya ialah apakah penjimatan itu benar benar berlaku atau masih terdapat penbaziran malah ketirisan?

Menangani persoalan ini, ia bergantung kepada pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan UA. Antaranya pihak UA boleh mempertimbangkan penilaian semua dibuat terhadap perjanjian yang telah dimeterai dengan pihak kontraktor dalam kerja-kerja penyelengaran  

Bagi penjimatan utiliti pula, unit dan pegawai yang terlibat harus menjalankan tugas mereka dengan telusuntuk merealisasikan penjimatan tersebut.

Dalam masa yang sama pihak UA boleh menyalurkan penjimatan atau lebihan kewangan kepada program, aktiviti atau projek yang perlu diutamakan mengikut keperluan UA sendiri.  

Kesimpulan

Walaupun penjimatan ini adalah bersifat sementara, ia pasti akan memberikan satu kelegaan perbelanjaan yang besar kepada pengurusan UA. Cabaran untuk merealisasikannya memerlukan kerjasama semua lapisan warga universiti dari peringkat atasan sehinggalah peringkat bawahan.

Kita boleh menjangkakan bahawa bukan sahaja penjimatan ini dapat diterjemah ke dalam erti kata yang sebenar, malah ia akan dapat ‘dikembalikan’ kepada semua pemegang taruh dalam bentuk berbeza seperti kuantiti dan kualiti tenaga pengajar, kakitangan sokongan dan fasiliti yang lebih ramai, berkualiti dan mesra alam serta pengguna.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Kampus Sabah, Kota Kinabalu

(Visited 441 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button