Nasional

Sistem penyelenggaraan pengangkutan awam di M’sia kelas ketiga

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menzahirkan rasa kecewa terhadap sistem penyelenggaraan sektor pengangkutan awam sekadar kelas ketiga walaupun negara mempunyai kemudahan kelas pertama.

Oleh itu beliau mahu semua pengangkutan awam negara membudayakan sistem penyelenggaraan agar teknologi kemudahan kelas pertama yang dikecapi rakyat ketika ini tidak terkebelakang dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang kerap tergendala sejak kebelakangan ini ekoran sistem yang usang.

“Kita lihat masalah yang timbul bagi LRT, sektor pengangkutan awam kita. Kita ada kemudahan awam terbaik… 20 tahun lepas dari zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Ke-5) lagi, kita dah sebut kita ada infrastruktur awam bertaraf ‘1st world’ tetapi kita di negara ketiga dalam sistem penyelenggaraan. Ini yang mesti kita ubah.

“Kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi kalau tiada budaya untuk memastikan penyelenggaraan seiring dengan keupayaan teknologi ia akan ke belakang dalam tempoh 10-20 tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam lawatan kerja ke pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah agensi pertama di Kementerian Pengangkutan yang dilawatinya selepas dilantik sebagai menteri sejak 2 Disember, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan komited untuk menggerakkan segala agenda dan dasar di Kementeria Pengangkutan dengan segera tanpa menunggu masa yang lama.

“Melangkah ke depan, apa yang telah dirancang dan dibincangkan itu tidak perlu mengambil masa lama… tak perlu buang masa, kita jalan terus saja.

“Saya lebih bersemangat sewaktu tempoh saya kali pertama di Kementerian Pengangkutan sebab kita tidak tahu berapa lamakah dalam satu-satu kedudukan. Pengalaman lalu telah mengajar saya,” katanya.

Beliau berkata, apa saja peluang yang datang, pihaknya mesti buat yang terbaik, kena pastikan dan dapat laksanakannya.

Untuk rekod, Anthony Loke kembali semula ke dalam Jemaah Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Pengangkutan selepas kali pertama beliau dilantik sebagai menteri penuh ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan.

Bagaimanapun, pentadbiran PH hanya bertahan 22 bulan susulan Langkah Sheraton yang menyebabkan Kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu tumbang. – SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button