BeritaPolitikPRK

Bossku hanya popular, bukan penyumbang kemenangan BN di Tanjung Piai

Walaupun setiap kali kehadiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke mana-mana termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sentiasa diserbu orang ramai, tetapi felo penyelidik Iham Centre berpendapat dia bukan penyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) tempoh hari.’

Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati, kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu tidak membawa sokongan masyarakat kepada calon BN yang bertanding pada ketika itu.

“Kita tak nampak beliau (Datuk Najib) boleh menyebabkan orang berpindah kepada parti BN. Saya merasakan ia adalah disebabkan Najib itu lebih kepada konteks ‘populariti’, tetapi bukannya dalam konteks ‘undian’.

“Najib tidak berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi untuk menyokong BN dan orang datang hanya untuk bersuka ria dan melihat dia, tetapi tidak boleh mempengaruhi masyarakat untuk sokong BN,” katanya ketika lapor Malaysia Dateline selepas Diskusi Pasca PRK Tanjung Piai: Fakta, Dimensi & Dinamik yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Diskusi anjuran bersama Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) dan Z Consulting Group (ZCG) itu turut melibatkan tiga lagi panelis iaitu, Pengarah Urusan ZCG, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim ‘Ben’ Suffian dan Dr Choong Pui Yee daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (Insap).

Hamidin berpendapat ia adalah disebabkan oleh calon yang diletakkan parti itu sendiri iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sangat memainkan peranan beliau sebagai calon dalam PRK yang lalu.

Keduanya, kata beliau, adalah, BN kekuatannya memang daripada peringat akar umbi lagi terutamanya dari negeri Johor.

“Walaupun undi beralih kepada PH, namun kesetiaan kepada BN itu sebenarnya masih lagi ada. Maknanya, pada peringkat awal, undi itu lari kerana masalah dari Putrajaya (masalah Najib), bukannya masalah di Johor dan PRK ini juga lebih bersifat negeri.

“Saya merasakan punca utama kekalahan adalah, parti PH itu sendiri gagal di peringkat persekutuan dan negeri.

“PH gagal dalam dua perkara iaitu daripada segi ekonomi dan penyampaian dasar. Saya rasa mereka gagal melakukan perkara tersebut dan ini memberi peluang kepada BN untuk menunjukkan kelemahan PH dengan membawa calon yang sudah dipercayai oleh rakyat di Tanjung Piai,” ujarnya lagi.

BN membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara itu, calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi; calon Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar dengan 32 undi.

PRK Tanjung Piai ialah PRK yang kesembilan, selepas PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu.

PRK sebelum ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau, manakala PRK bagi kawasan Parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button