Politik

Rakyat lebih percaya Perikatan Nasional di Bukit Gambir – Mohd. Solihan

BUKIT GAMBIR 7 Mac – Kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir yang dimenangi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mampu dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,  Sabtu ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, amanah yang disandarkan kepadanya untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Presiden Bersatu itu mampu dilaksanakan.

Beliau yang sebelum ini menang di DUN Tenang pada PRU-14 beralih ke Bukit Gambir kubu kuat PN berkata, beliau yakin kira-kira 29,000 penduduk di sini akan terus menyokong PN seperti mana Muhyiddin menang pada PRU-14.

“Hasil turun padang saya di setiap pelosok mendapati rata-rata penduduk percaya terhadap kepimpinan PN kerana mereka yakin dengan ketokohan Muhyiddin.

“Tinggal beberapa hari lagi sebelum hari mengundi Sabtu ini, nampak peluang saya untuk menang seperti mana di Tenang adalah cerah.


“Pengundi atas pagar sebanyak 28 peratus dan pengundi muda sebenarnya lebih percaya terhadap PN berbanding Barisan Nasional (BN),” ujar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Warung Bedul, Parit Kassan, Bukit Gambir di sini hari ini.

Saingan empat penjuru membabitkan Mohd Solihan ditentang Suraya Sulaiman (Pejuang), Sahrin Jani (BN) dan Naim Jusri (PKR).

DUN Bukit Gambir dimenangi oleh Muhyiddin pada PRU-14 dengan majoriti 3,088.

Mohd. Solihan yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan sewaktu Datuk Dr. Sahruddin Jamal menjadi Menteri Besar Johor pada 2019 berkata, hasil gerak kerja yang dijalankan menyantuni penduduk sejak hari penamaan calon melihat sokongan terhadap PN semakin meningkat.

Justeru beliau berharap pengundi DUN Bukit Gambir dapat memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan khidmat di kawasan berkenaan.

(Visited 240 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button