Nasional

Malaysia diiktiraf lima negara terbaik di dunia kawal Covid-19

MALAYSIA diiktiraf sebagai antara lima negara tebaik di dunia dalam mengawal pandemik COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan, yang mendapat pengiktirafan dunia dalam satu tinjauan global.

“Penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan telah mendapat pengiktirafan dalam satu tinjauan global. Malaysia berada dalam kedudukan antara lima negara terbaik dunia dengan ‘public approval’ atau penerimaan rakyat yang tertinggi,” katanya dalam sidang media harian di sini.

Beliau berkata Perdana Menteri mengambil keputusan besar dan mencabar dalam memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, selain turut melaksanakan kawalan ketat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan yang bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti.

Jelasnya hasil kerjasama baik seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan, ia telah membantu kerajaan dalam melandaikan lekuk COVID-19 di negara ini.

“Hari ini memasuki hari ke-89 rakyat Malaysia menjalani PKP, yang pastinya agak sukar pada peringkat permulaannya apatah lagi pandemik terpahat sebagai sejarah kehidupan kita, ada juga antara kita terpaksa menghadapi kawalan yang sangat ketat apabila PKPD diperkenalkan.

“Kerjasama yang diberikan seluruh rakyat serta pengorbanan besar daripada (petugas) barisan hadapan, … (hasilnya) kita telah berjaya mengawal  jangkitan COVID-19 dengan meratakan lengkung pandemik itu,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut memaklumkan, sidang media harian pelaksanaan PKP akan diadakan hanya tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat bermula esok.

Mengenai golongan yang diarah menjalani kuarantin di rumah, Ismail Sabri berkata mereka yang terlibat diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan memakai ‘wrist band’ sebagai tanda pengenalan perintah ‘home quarantine’.

Katanya individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

Jelasnya, sejak 10 Jun, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyaring 2,921 individu di semua pintu masuk negara dan daripada jumlah itu, 2,911 didapati negatif manakala 10 individu yang positif di bawa ke hospital untuk rawatan.- BERNAMA

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button