fbpx
Ekonomi

Rakyat boleh tuntut e-Tunai RM30 mulai hari ini

Oleh BERNAMA 

KIRA-kira 15 juta rakyat Malaysia layak boleh menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Touch ‘n Go, Grab, dan Boost mulai 8 pagi hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

“Setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima wang e-tunai itu,” katanya pada sidang media mengenai e-Tunai Rakyat di kementeriannya di sini, semalam.

“Pengendali e-dompet menambah baik pemberian RM30 wang percuma dibiayai kerajaan dengan memberi insentif tersendiri.


“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak menerima lebih daripada RM30 melalui inisiatif itu,” katanya sambil menambah jumlah tambahan itu diumumkan tiga pengendali berkenaan, hari ini.

Lim berkata, wang RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan melalui platform pengendali terpilih.

Beliau berkata, inisiatif e-Tunai Rakyat itu dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga terutama dalam sektor runcit.

“Oleh itu, kerajaan menggalakkan semua peniaga berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet terbabit supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac berakhir.

“Setakat ini, lebih lapan juta peniaga menggunakan perkhidmatan pembayaran e-dompet dan jumlah itu diharap meningkat selepas pengumuman inisiatif e-Tunai Rakyat,” katanya.

Lim berkata, bagi memastikan inisiatif itu mempercepatkan proses digitalisasi, RM30 itu perlu dibelanjakan penerima bermula 15 Januari hingga 14 Mac depan. Beliau berkata, baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac.

“Rakyat yang layak diberi tempoh memohon wang percuma itu sebelum 9 Mac depan untuk memastikan proses pengesahan dan pemberian wang dibuat dalam masa selewat-lewatnya tempoh lima hari bekerja,” katanya.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button