Nasional

Anwar jumpa syarikat gergasi teknologi di San Francisco

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok di  San Francisco.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat besar yang telah mengakui bahawa mereka akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran,” kata Anwar.

“Sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas adalah antara faktor penting untuk mereka melabur di Malaysia.

“Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan Malaysia rekod baharu,” katanya kepada pemberita dari Malaysia selepas mesyuarat itu.

Google diwakili oleh presiden dan ketua pegawai pelaburannya Ruth Porat yang juga ketua pegawai kewangan Alphabet, Enovix oleh Ketua Pegawai Operasinya Ajay Marathe, Microsoft Asia oleh presidennya Ahmed Mazhari dan TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutif Shou Zi Chew.

San Francisco Bay Area adalah lokasi kepada banyak syarikat Fortune 500 terbesar, yang merupakan firma paling inovatif dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan juga telah menerima kunjungan hormat daripada rakan pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG Jim Coulter.

TPG ialah firma pengurusan aset alternatif global yang terkemuka.

Perdana Menteri tiba di San Francisco pada Isnin (13 Nov) untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-30 dari 14 hingga 17 Nov, menandakan lawatan sulungnya untuk mesyuarat rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia. – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button