Politik

Rakyat boleh hilang kepercayaan terhadap BN di Melaka – Rospandi Leman

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 9 Mei – Ketidakstabilan politik di negeri ini boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap
Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman berkata, rakyat sudah jelak dengan isu-isu
politik sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan dan kini mereka mahu melihat Melaka maju
ke hadapan.

Menurutnya, isu desakan supaya Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri tidak
sepatutnya berlaku sebaliknya hal tersebut boleh menyebabkan rakyat boleh membenci BN.

Tegasnya, selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 13 kerusi
selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), rakyat mahukan soal pembangunan, banjir, ekonomi dan sebagainya
diberi keutamaan.

“Saya boleh labelkan politik Melaka tenang dalam gelora. Inilah hakikat yang berlaku sekarang dan perkara
ini seharusnya dibuang jauh-jauh.

“Sementara BN memerintah negeri ini, rakyat sekarang ini hendak tengok kestabilan politik diwujudkan,
pembangunan negeri diberi keutamaan, usaha menarik kedatangan pelabur dan sebagainya bagi memajukan
Melaka.

“Saya nasihatkan kalau ada niat yang tidak baik hingga hendak meminta Sulaiman meletakkan jawatan buanglah
jauh-jauh hasrat itu.

“Keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO sudah memilih Sulaiman sebagai Ketua Menteri, jadi kita kena akur
biarkan beliau mengemudi negeri ini sehingga habis penggal,” ujarnya ketika ditemui di pejabat Perbadanan
Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) di sini hari ini.

Rospandi yang juga Timbalan Pengerusi Pertam berkata, ramai pelabur yang ingin melabur di negeri ini
melahirkan rasa bimbang dan takut untuk datang ke sini berikutan perkembangan politik pada masa kini.

Beliau berkata, beberapa pelabur telah menghubunginya menyatakan hasrat untuk melabur tetapi mengambil
sikap tunggu dan lihat dengan perkembangan politik negeri ini.

“Jika politik stabil, pelabur datang untuk melabur dan secara tidak langsung ia akan membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Bahagian Alor Gajah akan mempertahankan kedudukan Sulaiman untuk
terus menjadi Ketua Menteri sehingga habis penggal.

(Visited 603 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button