Kemalangan

“Rakan Saya Dalam Longkang… Rupanya Dah Meninggal”- Pelajar UPSI

DETIK tragis yang menyayat hati masih terbayang dalam ingatan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aleeya Maisarah Azizzani, 21, apabila melihat rakan-rakannya bergelut untuk menyelamatkan diri dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.

Dalam keadaan gelap dan kelam-kabut, Aleeya masih dapat melihat ada yang tersepit, meronta meminta tolong, dan tiba-tiba senyap – petanda mereka sudah tidak lagi bernyawa.

Menurut Aleeya, ketika kejadian berlaku, dia masih berjaga dan menyedari bas yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan.

“Bas macam tak stabil masa masuk selekoh. Tiba-tiba ia jatuh ke kiri dan kena pembahagi jalan.

“Saya duduk di bahagian belakang, jadi tak nampak jelas apa yang berlaku di depan. Kemudian baru tahu ada kereta Perodua Alza biru yang turut terbabit,” katanya.

Aleeya berkata suasana dalam bas begitu panik dan menyedihkan apabila ramai penumpang cedera parah dan menjerit meminta pertolongan.

“Saya tak mampu nak bantu sangat sebab belakang saya sakit teruk. Kepala saya bengkak dan kaki terseliuh. Tapi saya masih dapat lihat rakan-rakan yang tersepit, cedera parah dan ada yang tak sedarkan diri.

“Ada yang terperangkap dalam bas, ada yang saya nampak dalam longkang… rupa-rupanya mereka dah meninggal. Ada juga kata kepala seseorang pecah, tapi saya tak tengok. Saya cuma dengar orang sebut,” ujarnya yang masih dalam keadaan trauma.

Aleeya turut memaklumkan bahawa sejak awal perjalanan dia sudah berasa tidak sedap hati apabila bas beberapa kali melalui lopak air.

“Saya memang tak tidur masa tu. Dari awal lagi, bila bas masuk lopak, saya dah rasa tak sedap hati,” katanya.

Kemalangan tersebut mengorbankan 15 nyawa – 13 maut di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik. Bas persiaran itu membawa 44 individu termasuk 42 pelajar UPSI.

Kreadit: Bernama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button