Berita

Rakam keterangan, rekod keterangan

Bawa pulang abu mayat Chin Peng: Polis sudah rakam keterangan 10 individu

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 10 individu, termasuk pengarang sebuah portal berita, selepas menerima 11 laporan berhubung kes abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke negara ini.

Saksi lain termasuk wartawan, pembawa abu mayat, individu terbabit dalam upacara menaburkan abu mayat dan pengadu kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketika ini, pihaknya dalam proses mendapatkan keterangan pakar sejarah bagi membantu siasatan.

“Kita juga sedang mendapatkan laporan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 505(C) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Nyanyi Negaraku dalam bahasa Mandarin: Polis rekod keterangan dua individu

KUALA LUMPUR: Polis sudah merekod keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes tular video nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku, dalam bahasa Mandarin di sebuah sekolah di Seremban yang dipercayai berlaku pada September tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dua individu terbabit ialah Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (Aduan/Siasatan), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, serta Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ma Hwa.

Beliau berkata, rakaman percakapan individu lain pula akan dibuat mengikut tarikh temu bual yang sudah diatur.

“Bagi insiden kedua membabitkan nyanyian Negaraku dalam bahasa Arab yang turut tular, ia dikesan berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat di Gurun, Kedah.

“Rakaman percakapan ke atas individu berkaitan sudah dibuat, semalam. Saksi berkenaan termasuk Guru Besar, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda, dan individu yang merakam serta memuat naik video nyanyian itu ke dalam Facebook.

“Setakat ini, kita menerima lapan laporan berhubung isu terbabit. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, berhubung isu bendera Malaysia dengan bintang lima bucu pula, Huzir berkata, pihaknya sudah menerima 31 laporan di seluruh negara.

“Kita juga sudah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan, termasuk pengadu, setiausaha eksekutif persatuan, pengarah syarikat serta vendor teknologi maklumat.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, hari ini, untuk arahan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button