Mahkamahpilihan

Ahli Majlis MPHTJ didenda RM3,000

Seorang Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah menjual arak tanpa lesen September tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh M. Thiruselvan, 40, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah melanggar syarat lesen perniagaan dengan menjual minuman keras tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa melesen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe hiburan Jalan Padang Balang, Taman Padang Balang, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 3.15 pagi 15 September 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001
dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Peguam tertuduh, Datuk Shashi Kannan dalam rayuannya memohon denda yang ringan kerana anak guamnya tidak tahu kesalahan dilakukan selain telah menyesal dengan perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ini adalah kesalahan kali kedua dilakukan tertuduh di bawah seksyen sama yang pernah didenda RM2,000 sebelum ini.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Majistret Sharda Shienha mengenakan denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. SM

(Visited 308 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button