Luar Negarapilihan

Rajapaksa Masih Mungkir Letak Jawatan, Kini Bersembunyi Di Sebelah Malaysia!

Bandar utama di Sri Lanka, Colombo, mulai tenang hari ini dengan orang ramai masih menanti peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Maldives dan kini berada di Singapura.

Perkara itu disahkan sumber kerajaan Sri Lanka, selepas tindakannya melantik sekutunya yang juga Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, sebagai pemangku Presiden, mencetuskan demonstrasi lebih besar dengan penunjuk perasaan menyerbu Parlimen dan pejabat perdana menteri, menuntutnya turut berundur.

Sementara itu, seorang pegawai di lapangan terbang di Male memberitahu AFP bahawa Rajapaksa sudah meninggalkan Maldives dengan menaiki pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Saudia Air menuju ke Singapura

Katanya, Gotabaya Rajapaksa bersama isterinya, Ioma dan dua pengawal peribadi menaiki pesawat sejurus sebelum ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana di Male.

Sumber kerajaan Sri Lanka turut mengesahkan kepada Reuters bahawa Rajapaksa berada di Singapura untuk tinggal buat masa sekarang, selepas melarikan diri dari Sri Lanka ke Maldives Rabu lalu.

Rajapaksa berulang kali meyakinkan Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena, sejak Rabu lalu bahawa beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi tidak melakukannya sehingga kini.

Menurut sumber Parlimen, Speaker boleh mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai langkah seterusnya jika surat berkenaan tidak juga sampai hari ini.

Di Colombo, penunjuk perasaan dilihat masih berada di dalam kediaman presiden tetapi memberi jaminan akan mengosongkan dan menyerahkannya kepada kerajaan.

Salah seorang penganjur protes, Chameera Dedduwage, berkata tiada maknanya menguasai bangunan sedangkan presiden yang dicari sudah lari meninggalkan negara.

Sementara itu, seorang terbunuh dan 84 yang lain cedera dalam pertempuran antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan pada Rabu lalu berhampiran bangunan Parlimen dan kediaman Presiden, di mana mereka menuntut Rajapaksa dan Wickremesinghe berundur.

Jurucakap polis, Nalin Thalduwa, berkata mangsa berusia 26 tahun itu maut akibat kecederaan yang dialami. – AFP

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button