Mahkamah

45 cek Yayasan Akalbudi tiada kaitan dengan pendakwaan

Saksi pendakwa ke-90 Mejar Mazlina tak setuju

SAKSI pendakwa ke-90, Mejar Mazlina Mazlan tidak bersetuju dengan cadangan soalan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zanal bahawa 45 keping cek Yayasan Akal Budi yang dicop tandatangan oleh saksi tanpa mendapat persetujuan (direct approval express) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dikaitkan dalam kes perbicaraan membabitkan Presiden UMNO itu walaupun peguam Ahmad Zahid menunjukan satu persatu penolakan dakwaan itu.

Bahkan Mazlina yang pernah menjadi Setiausaha Eksekutif bekas Perdana Menteri itu turut diberikan kertas dan pen bagi membuat perkiraan metamatik yang mudah.

“Sebanyak 45 keping cek Yayasan Akal Budi daripada jumlah itu 32 keping cek dicop tandatangan oleh Puan Mazlina.

“45 tolak 32 berapa baki Puan Mazlina?” soal Ahmad Zaidi.

Jawap saksi, 13 dan daripada jumlah ini, kata Ahmad Zaidi lagi, terdapat dua keping cek yang tidak diperiksa atau dianalisis oleh pakar tulisan.

“13 tolak 2 tinggal berapa Puan Mazlina?” tanya Ahmad Zaidi.

Jawap saksi, “11.”

Kata Ahmad Zaidi, daripada 11 keping cek terdapat sekeping cek yang disahkan laporan kimia tidak ada tandatangan Datuk Zahid (tertuduh).

“Setelah 11 tolak satu tinggal 10 dan daripada 10 keping cek ditolak tujuh cek yang tidak konklusif. Bakinya berapa Puan Mazlina?” soal Ahmad Zaidi.

“Tiga,” jawab saksi dan tegas Ahmad Zaidi, tiga cek berbaki itu berkemungkinan besar ditulis (possibly written) berdasarkan rujukan di item 12, muka surat 6.

“Baki 3 ditolak 3 jadi kosong. Setuju dengan cadangan saya 45 cek tidak ada yang boleh dikaitkan dengan pertuduhan terhadap Datuk Zahid,” kata Ahmad Zaidi.

“Tidak setuju,” jawap Mazlina yang mengekalkan jawapannya kepada tiga elemen sejak pemeriksaan balas dilakukan ke atasnya pada 28 Ogos lalu.

Tiga elemen yang digunapakai oleh Mazlina dalam menjawab soalan ialah ‘terlepas pandang, tidak pasti/tidak ingat dan tidak tahu.’

Hari ini adalah prosiding sambung bicara kes Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan pemeriksaan balas terhadap saksi yang sama ditampilkan kira-kira dua minggu lepas.

Pagi tadi saksi memberitahu mahkamah dia terlebih bayar kad kredit Ahmad Zahid lebih RM196,000 menggunakan cek Yayasan bukan cek peribadi.

Mazlina mengakui sejak dia mengambil alih tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid daripada Datuk Rosiah, semua buku cek sama ada buku cek peribadi ataupun buku cek milik yayasan adalah di dalam simpanannya.

Semua buku cek kata Mazlina, disimpan di dalam laci berkunci di pejabatnya dan kunci laci berada di tangannya tetapi apabila berlakunya peralihan kerajaan pada Mei 2018, dia tidak ingat, tidak rekod dan tidak membuat catatan siapa yang memegang cheque butt (kaki cek).

“Satu buku cek mengandungi 100 keping cek. Kamu x ada simpan, tak rekod, tak buat nota bayaran atau untuk bayar apa.

“Kaki cek pun tak ada. SPRM tak ambil,? soal Ahmad Zaidi.

“Tak ingat. Tak ada. SPRM tak ambil,” jawap Mazlina kepada soalan Ahmad Zaidi.

Walaupun banyak kali berlaku kecuaian Mazlina tetapi dia tetap tidak mengakui kecuaian yang dilakukan, saksi ini terdiam apabila ditanya tentang cek yang ditulis dengan namanya, Mazlina Mazlan selari dengan nama Zahid Hamidi di atas sekeping cek yang sama dan disertakan sekali dengan nombor telefon Mazlina.

“Rujuk P44. Cek ini letak nama Zahid Hamidi, letak nama Mazlina dan nombor telefon Mazlina Mazlan.

“Cek ini untuk bayaran kad kredit Datuk Zahid. Dalam kes ini kamu sentiasa tulis nama Datuk Zahid tetapi ini, tulis nama sendiri. Kenapa?” soal Ahmad Zaidi.

Soalan itu tidak dapat dijawab oleh saksi.

“Saya tidak boleh menipu dalam mahkamah. Kamu tidak boleh menipu dalam mahkamah,” ujar Ahmad Zaidi.

Kata Ahmad Zaidi, Datuk Seri Ahmad Zahid adalah bekas banker berpengalaman, senior banker dan kalau beliau nampak ada nama Mazlina di atas cek berkenaan, Ahmad Zahid tidak akan luluskan pengeluaran cek berkenaan dan cek itu juga adalah salah satu cek yang ditandatangan awal (presign).

Mahkamah berhenti rehat dan akan bersambung pukul 2.30 petang nanti. – SM

[contact-form][contact-field label=”Name” type=”name” required=”true” /][contact-field label=”Email” type=”email” required=”true” /][contact-field label=”Website” type=”url” /][contact-field label=”Message” type=”textarea” /][/contact-form]
(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button