Nasional

Raja Puan Muda Perlis ucap tahniah kepada srikandi negara

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para wanita hebat yang menyertai bidang pertahanan dan keselamatan negara.

Tambah baginda, ‘Semestinya perjalanannya jauh, berliku dan tidak mudah untuk dicapai. Terlalu banyak cabaran dan halangan yang harus ditempuhi dan dilepasi dalam menggalas tugas sebagai srikandi negara’.

Jelas baginda lagi, ‘Pertahanan dan keselamatan merupakan bidang yang sangat mencabar dan menguji ketahanan fizikal serta mental. Bidang ini juga lebih sinonim dan didominasi oleh kaum lelaki. Meskipun begitu, ini tidak bermakna para wanita tidak seharusnya dan tidak mampu mengambil peluang untuk menceburi kerjaya dalam kedua-dua bidang berkenaan. Kebelakangan ini juga semakin ramai kaum hawa memperagakan tekad, iltizam dan sifat keberanian bagi memecah norma menyertai bidang ketenteraan’.

Demikian titah Tuanku Raja Puan Muda selepas berkenan menandatangani sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang telah menjayakan Webinar Women in Search of Excellence (WISE) Siri ke-8 di bawah anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada 20 April 2022 baru-baru ini.


Sijil penghargaan tersebut adalah sebagai tanda sukacita dan menghargai penglibatan, kerjasama serta komitmen semua pihak di bawah kepimpinan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dalam menjayakan penganjuran webinar yang diurusetiakan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM bertajuk “Cabaran Wanita Dalam Keselamatan”.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) turut mengucapkan penghargaan khas kepada para ahli panel undangan yang telah berjaya berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan tentang tema yang dipilih dengan baik sekali dan
membuka mata para wanita dengan memberi pendedahan melalui maklumat-maklumat yang padat dan bertepatan tentang realiti dan keperluan masa kini.

Baginda turut menyentuh tentang kebiasaannya golongan lelaki merupakan golongan yang mendominasi bidang seni mempertahankan diri, tetapi dengan melihat kepada peningkatan statistik Keganasan Terhadap Wanita di negara ini maka ianya menjadi asbab kukuh untuk kaum wanita turut sentiasa bersedia dengan mempersiapkan diri mempelajari dan mendalami ilmu yang sama.

(Visited 129 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button