Nasional

Raja Puan Muda Perlis melawat titian Titi Gantung FRIM

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke ‘Titian Kanopi’ yang juga dikenali sebagai ‘Titi Gantung’ Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, Jalan Padang Besar pada Ahad.

Keberangkatan tiba baginda ke program sempena ‘Fun Walk’ sejauh 5km ini adalah atas anjuran Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita UniMAP (PISKANITA) dan disambut oleh pengerusinya Fatimah Danial.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP selepas itu berkenan berangkat ke SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah bagi mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diaturkan di sana.

Antara yang dilaksanakan ialah acara zumba, klinik olah raga yang dikendalikan oleh bekas atlet olah raga kebangaan negara Nasmizan Muhammad, pertunjukan frisbee serta menonton pertandingan bola jaring persahabatan di antara pasukan PISKANITA melawan pilihan SMKRPMTF.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan singgah bagi merasmikan ‘Sistem Solar PV’ yang disumbangkan oleh pihak Fakulti Teknologi Elektrik UniMAP untuk rumah pengawal dan juga pintu utama sekolah.

Selain itu Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa mengecat dinding bangunan sekolah dengan motif slogan ‘Malaysia Prihatin’ sebagai kenang-kenangan program Tangunggjawab Sosial Universiti (USR) yang dilaksanakan oleh UniMAP bersama sekolah berkenaan.

Untuk rekod, selain ‘Titian Kanopi’, terdapat juga kemudahan-kemudahan lain seperti petak demonstrasi, tapak perkhemahan, galeri jati serta penginapan (maksimum 23 orang), bilik seminar maksimum 100 orang dan bilik mesyuarat 20 orang di Stesen Penyelidikan FRIM Mata Ayer yang ditubuhkan pada tahun 1974 di bawah Program Membaik Biak benih Pinus carabaea di Hutan Simpan Mata Ayer, Perlis.

Hutan simpan yang terletak 28km dari bandar Kangar dan hanya 10km dari Padang Besar ini meliputi kawasan seluas 455 ha dan telah ditanam dengan jati pada 1953 sebagai tanaman percubaan.

Kini, kira-kira 300 hektar telah ditanam dengan jati dari Thailand, Indonesia, India, Papua New Guinea, Trinidad dan juga Sabah.

(Visited 1,127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button