Ekonomi

Projek Bitara MADANI fokus selesaikan kesulitan rakyat – PM

KERAJAAN komited bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) telah bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) melaksana dan memperluaskan Projek Bitara MADANI dengan segera termasuk memberi berfokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“MTMM telah memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara MADANI iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai MADANI,” katanya dalam hantara ke Facebook.

Di bawah projek menaik taraf fasiliti, Kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023.

Manakala bagi memperluas pelaksanaan Gerai MADANI, kaedah penambahbaikan yang digunapakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah PBT terpilih.

Tindakan penambahbaikan akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat.

Projek-projek Bitara MADANI sentiasa mendukung rukun Malaysia MADANI dan menggunakan pendekatan “The Whole of Government” di mana ketua projek adalah terdiri daripada kalangan pegawai kanan Perkhidmatan Awam di Kementerian/Jabatan yang berbeza dengan Kementerian/Jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.

Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek – projek Bitara MADANI dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara MADANI selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Dalam pada itu Anwar yakin dapat mempertahankan tiga negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, beliau juga yakin dapat menakluk dua lagi negeri dalam PRN kali ini.

“Kita tumpu keenam-enam negeri, tapi Insya-Allah dengan perkembangan sekarang dan semua kajian dibuat.

“Saya lihat tiga negeri itu sangat kuat dan boleh dipertahan, insya-Allah, sekarang ni nampak menjurus ke dua negeri lagi,” kata Anwar.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi pula, beliau berkata perbincangan telah pun selesai di antara PH dan BN.

Namun, ujarnya, ruang masih dibuka kepada kepimpinan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan sekiranya terdapat perkara berbangkit.

“Kita bagi ruang kalau orang nak bangkit mengenai PRN, kita bincang. Tapi kalau saya dengan Datuk Seri Zahid telah selesai. Pengumuman nanti saya bincang.

“Setakat ini tiada, saya bincang dengan Zahid tidak ada, tapi kita bagi ruang kalau ada pandangan daripada kepimpinan negeri sama ada PH atau BN,” katanya lagi.

Sebarang pengumuman, ujar Anwar, akan dibuat dalam perhimpunan di Selangor pada Jumaat ini.

“Saya akan umumkan, Jumaat ada perhimpunan besar di Selangor, baru kita luncurkan jentera secara rasmi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya, pada Selasa.

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button