Hiburan

Filem ‘Syahadan’ angkat kehebatan seni silat Melayu

SELEPAS berlakunya konflik apabila tidak mendapat ruang penyiaran di sebuah stesen televisyen berbayar, akhirnya filem aksi persilatan Malaysia, Syahadan berjaya ke layar perak dan bakal menemui penonton di 41 pawagam terpilih di seluruh negara bermula 17 Februari ini.

Syahadan yang bermaksud permulaan sebuah cerita membawa kisah sosial masyarakat dan dalam masa sama mengangkat kehebatan seni silat Melayu.

Karya Datuk Dr Fairus Hussain dan Halim Hassan itu bukan sekadar filem yang menyajikan aksi silat semata-mata tetapi digarap dengan pembentukan jati diri anak bangsa sesuai dengan falsafah persilatan iaitu perlambangan Akal Budi Melayu.

Walaupun belum ditayangkan, filem sulung terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd telah dilamar produksi serta agensi dari negara Turki yang berhajat untuk sambungan kedua yang bakal dibuat berlatar-belakangkan kedua negara dengan menampilkan barisan pelakon terkenal serta kandungan aksi yang lebih padat.

Dalam pada itu, karya tersebut juga telah melakar sejarah apabila mendapat sokongan langsung pihak Istana dizahirkan menerusi kehadiran KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli ke tayangan perdana yang berlangsung di TGV One Utama beserta VVIP dan barisan artis serta tetamu kehormat.

Filem Syahadan diterbitkan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mempunyai keahlian 4.4 juta di seluruh negara melibatkan pelbagai latar belakang anggota serta merentasi ideologi politik serta bangsa untuk terus mengangkat seni bela diri warisan Melayu serta memupuk semangat patriotik cintakan negara dan nilai-nilai murni.

Filem itu menampilkan pelakon baru seperti Al-Jufferi Jamari sebagai Omar, Anuar Rahman sebagai Pak Daud dan juga Bob Megat sebagai ayah Omar.

“Kita pilih Al-Jufferi kerana wataknya yang sangat bersahaja dan sesuai dengan gaya anak muda hari ini yang
sukakan kebebasan.

“Yang paling penting, kita angkat atlet pesilat kebangsaan atas bakat berlakon dan beliau juga merupakan pemegang kejuaraan dunia sebanyak tiga kali!” Menurut Fairus Hussain yang juga merupakan Presiden Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia. -SM

(Visited 895 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button