Nasional

Kementerian Luar kesal dengan tulisan berhubung lawatan PM ke Dubai

KEMENTERIAN Luar kesal dengan penulisan berkaitan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang disifatkan sebagai spekulasi dan tohman.

PENJELASAN KEPADA TULISAN OLEH FREE MALAYSIA TODAY (FMT) BERKENAAN LAWATAN YAB PERDANA MENTERI KE DUBAI PADA 29-31 MAC 2022

Kementerian Luar Negeri (KLN) merujuk tulisan Free Malaysia Today (FMT) pada 10 April 2022 tentang lawatan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29-31 Mac 2022. KLN kesal kerana tulisan tersebut bukan sahaja mengandungi maklumat yang tidak tepat, malahan lebih bersifat spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas.

Berdasarkan kandungan tulisan tersebut, jelas sekali sumber-sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan tersebut.

KLN ingin menjelaskan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29-31 Mac 2022 sempena Ekspo 2020 Dubai. Lawatan tersebut telah berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

Semasa lawatan ini, YAB Perdana Menteri telah menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan. YAB Perdana Menteri juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena Ekspo 2020 Dubai.

Seperti lawatan-lawatan sebelum ini, YAB Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan dengan Keluarga Malaysia di Dubai. Di samping itu, sebagai tambahan kepada tujuan asal lawatannya, dan melalui inisiatif pimpinan tertinggi KLN yang mengiringi lawatan YAB Perdana Menteri, maka, YAB Perdana Menteri turut menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (World Government Summit – WGS) pada 30 Mac.

Semasa majlis ini, YAB Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

KLN seterusnya ingin menjelaskan bahawa Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang ke KLN. Tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan YAB Perdana Menteri sepertimana yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan YAB Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.

Kegagalan ini termasuk YAB Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai. Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk YAB Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada.

Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika YAB Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk YAB Perdana Menteri.

Kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran WGS yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai. Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain. Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS, pastinya usaha telah dibuat supaya YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut.

Pada tengah hari 30 Mac, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, PYT Reem Ebrahim Al Hashimy. Melalui pertemuan tersebut, YAB Perdana Menteri diundang menghadiri Majlis Penutup WGS pada petang 30 Mac, iaitu seperti dinyatakan dalam perenggan 5 di atas.

Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada YAB Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan. Justeru, semasa majlis perlepasan pulang YAB Perdana Menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar bin Sultan Al Olama.

Semasa di lapangan terbang itu, TYT Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada YAB Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023, dan YAB Perdana Menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut.

Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam.

PUTRAJAYA 11 APRIL 2022

(Visited 553 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button