Ekonomi

MySI 2021 tawar RM6.5 juta, 100,00 penerima telah dibantu

DANA Program Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 menawarkan RM6.5 juta sebagai usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjak ekonomi negara dari negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi serta menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

Objektif MySI 2021, katanya, adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya golongan B40 dan kumpulan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi tempatan yang dibangunkan serta sedia dilaksanakan secara mampan.

“Program ini memfokuskan kepada bidang-bidang keutamaan yang merujuk kepada Rangka Kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE), antaranya termasuklah tenaga, perniagaan dan perkhidmatan kewangan.

“Pelaksanaan Program MySI dari tahun 2015 hingga tahun lepas dengan dana sebanyak RM48 juta telah membangunkan 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif yang dilaksanakan di seluruh negara,” katanya ketika Majlis Pelancaran Penawaran Dana MySI 2021 secara maya hari ini.

Ahmad Amzad berkata, melalui Program MySI itu, lebih kurang 100,000 penerima manfaat telah dibantu secara langsung dan tidak langsung dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, antara projek MySI yang telah berjaya dilaksanakan dan memberi impak kepada komuniti setempat adalah Projek Bekalan Air Bersih ujntuk komuniti Kampung Rumindako Kiulu, Tamparuli, Sabah dengan menggunakan teknologi Sistem Membran Penapisan Air Minuman Mudah Alih.

Pelaksanaan projek tersebut, menurut Ahmad Amzad lagi, telah memberi manfaat kepada 11,800 penerima dan menjimatkan kos bekalan air kepada 200 isi rumah dengan anggaran penggunaan air sebanyak RM240 seisi rumah setahun atau RM20 sebulan.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) , sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataannya memaklumkan, telah membuka penawaran Dana MySI 2021 bermula hari ini sehingga 30 Jun nanti bagi fasa pertama.

Ogos pula untuk fasa kedua, terbuka kepada semua agensi kerajaan, institusi pengajian awam dan swasta, industri dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut YIM, permohonan pada tahun ini boleh dibuat secara dalam talian menerusi sistem Innomap MySI yang boleh dicapai melalui pautan https://mysi.innomap.my selain mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program MySI 2021 di patutan yang sama. – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button