
Raja Perlis terima mengadap Timbalan Gabenor Tashkent
KUALA LUMPUR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan mengadap hormat oleh Timbalan Gabenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Najmiddin Sharipov di Istana Perlis, Kuala Lumpur.
Mengadap ini diadakan sempena kunjungan rasmi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, ke Malaysia yang bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Delegasi dari Uzbekistan turut disertai oleh Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdurasul Abdukhalilov, dan Penasihat Jawatankuasa Pelancongan Republik Uzbekistan, Temur Mirzaev.
Dalam pertemuan tersebut, Timbalan Gabenor berkenaan mempersembahkan salam dari pihak Kerajaan Uzbekistan kepada Tuanku Raja Perlis dan mempersembahkan penghargaan atas kesudian Baginda menerima kunjungan beliau. Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih atas layanan mesra yang diterima sepanjang lawatan kerja beliau ke Perlis baru-baru ini, yang membuka banyak peluang untuk kolaborasi bersama di masa depan.
Lawatan Timbalan Gabenor ke Perlis melibatkan kunjungan ke beberapa lokasi penting berkaitan sektor pertanian, logistik, dan industri halal. Tashkent menunjukkan minat yang mendalam untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang-bidang tersebut, termasuk cadangan projek pertanian bersama dan pengembangan perdagangan dua hala.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh peluang dalam bidang perbankan Islam serta pertukaran kepakaran dalam industri berkaitan. Uzbekistan melihat Malaysia, khususnya Perlis, sebagai potensi rakan strategik dalam memperkukuh inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial mereka.
Selepas sesi mengadap, Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis yang pernah berangkat ke Uzbekistan mengadakan lawatan negara ketika menjadi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke-12, turut berkenan meraikan Timbalan Gabenor dan delegasi dalam satu majlis santapan. Majlis ini melambangkan keakraban hubungan yang terjalin dan membuka ruang untuk perbincangan lebih lanjut dalam suasana mesra.
Pertemuan ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama. Timbalan Gabenor berharap hubungan erat antara Uzbekistan dan Malaysia khususnya antara Tashkent dan Perlis akan terus diperkukuh pada masa hadapan.