Acara

Raja Perlis Seru Pembentukan Ummah MADANI Bestari Berlandaskan Nilai Iman dan Tanggungjawab


ARAU, 4 Julai 2025 – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini menyeru agar pembentukan Ummah MADANI Bestari digerakkan secara menyeluruh berlandaskan nilai keimanan, ilmu pengetahuan dan budaya hidup bertanggungjawab.

Titah baginda, usaha memperkukuh masyarakat Islam masa kini tidak seharusnya hanya bersifat retorik, tetapi memerlukan tindakan kolektif dan berterusan yang merangkumi institusi keluarga, pendidikan, dan kepimpinan masyarakat.

“Marilah kita bergerak bersama menuju sebuah Perlis yang lebih MADANI, sebuah negeri kecil yang berjiwa besar, menjadi contoh dalam menjayakan prinsip-prinsip Islam yang universal,” titah baginda dalam Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri 1447H/2025M di Pusat Koreksional Perlis.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

MADANI Bukan Sekadar Slogan

Baginda turut menegaskan bahawa nilai-nilai teras MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan harus diterapkan dalam amalan seharian rakyat, bukan sekadar dijadikan slogan.

“Prinsip ini mesti menjadi budaya hidup warga Perlis agar kita benar-benar menjadi negeri contoh yang menyinari perubahan positif dalam masyarakat,” titah baginda.

Pusat Koreksional Simbol Harapan

Dalam konteks pemulihan sosial, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memulihkan dan memperkasakan penghuni pusat koreksional. Baginda mengangkat penghuni-penghuni ini sebagai sebahagian daripada ummah yang berhak mendapat peluang kedua.

“Sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan di sini menjadi lambang harapan dan sinar baharu bahawa setiap insan mampu berubah dan setiap insan berhak untuk dihargai,” titah baginda lagi.

Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 2025

Pada majlis tersebut, Prof Emeritus Datuk Dr Johari Mat, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) di Kelantan, telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 1447H/2025M atas sumbangan besar beliau dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di peringkat nasional.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button