Acara

Raja Perlis sempurna pelancaran logo jubli perak pemerintahan baginda

KUALA PERLIS 21 Feb. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Logo Sambutan Jubli Perak’ pemerintahan Baginda yang bakal disambut pada 17 April 2025 ini di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5 Jalan Kuala Perlis hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat mengiringi Baginda ke majlis tersebut.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Logo rasmi Sambutan Jubli Perak pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis direka khas untuk memperingati 25 tahun pemerintahan Baginda. Reka bentuk ini menampilkan tujuh elemen utama yang melambangkan kebesaran, kestabilan, dan kemakmuran negeri Perlis di bawah kepimpinan Baginda.

Antara 7 elemen unik dengan maksud tersirat logo ini termasuklah “Tengkolok Putra Julang Darjat” di bahagian atas logo merupakan tengkolok rasmi DYMM Tuanku Raja Perlis yang menggambarkan kedaulatan, kebesaran, dan warisan institusi Diraja Perlis serta melambangkan keadilan dan kewibawaan pemerintahan Baginda sebagai Raja Perlis.

Tulisan Arab “جوبلى فيراق” (Jubli Perak) ditulis dalam kaligrafi Arab mencerminkan warisan Islam yang teras dalam budaya Perlis. Angka “25” Berwarna Emas pula adalah simbol utama dan angka 25 melambangkan dua dekad setengah pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis. Warna emas digunakan untuk menggambarkan kejayaan, kestabilan, dan kecemerlangan yang dikecapi negeri Perlis sepanjang tempoh tersebut.

Lingkaran emas yang mengelilingi logo mengandungi teks rasmi: “SAMBUTAN JUBLI PERAK PEMERINTAHAN DYMM TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL, RAJA PERLIS.” pula adalah bentuk lingkaran melambangkan kesinambungan pemerintahan yang aman, harmoni, dan inklusif, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, atau budaya.

Tulisan Jawi tertera Nama baginda “Syed Sirajuddin Jamalullail” dengan motif “Pelita” atau “Siraj” ditulis dalam tulisan Jawi melambangkan cahaya kebijaksanaan yang mencerminkan peranan Tuanku Raja Perlis sebagai pemayung, penerang haluan negeri, memimpin ke arah kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Manakala, Jata Diraja Perlis juga dimasukkan sebagai lambang kebesaran kerajaan negeri dan kesinambungan warisan Diraja Wangsa Jamalullail serta Angka “2000 – 2025” sebagai Garis Masa Pemerintahan Gemilang Baginda pula menandakan tempoh pemerintahan dipenuhi kejayaan, pembangunan, dan kebajikan rakyat. Ia juga melambangkan era kegemilangan di bawah kepimpinan Tuanku.

Logo ini bukan sekadar simbol sambutan, tetapi juga manifestasi kecemerlangan pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sepanjang 25 tahun memerintah. Setiap elemen direka dengan teliti, sarat dengan makna yang mencerminkan kepimpinan baginda yang membawa Perlis ke arah kemajuan, kemakmuran, dan kesejahteraan seluruh rakyat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button